Konvoi Bermotor Kumpul 500 Anak Muda DUN Lenggeng

SEREMBAN, 31 Julai – Konvoi bermotor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah berjaya mengumpulkan lebih 500 anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, program tersebut merupakan pecutan terakhir sebelum tamat tempoh berkempen.

“Hari ini program terakhir… pecutan terakhir kita. Kita lancarkan program konvoi anak muda ini dengan tujuan untuk menarik anak-anak muda bersama dengan BN.

“Anak-anak muda ini, kita kena ikut jiwa mereka dan inilah kaedah yang kita buat. Alhamdulillah, kita berjaya kumpulkan lebih 500 anak-anak muda bermotor pada petang ini.

“Kita percaya apabila mereka sanggup berjam-jam bersama saya, berkonvoi dari pekan Broga di sempadan Selangor sehingga ke Taman Ampangan yang berjarak lebih kurang 40 kilometer ini, jadi saya yakin sokongan mereka teguh kepada kita,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa kerusi DUN Lenggeng akan kekal di bawah BN dan turut menyeru anak-anak muda untuk pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Alhamdulillah, saya rasa peluang sangat cerah sebab saya penyandang kepada kerusi ini. Kita boleh lihat sokongan terhadap anak muda. Baru semalam sahaja kita lancarkan dan iklankan program konvoi bermotor ini… kita dapat kumpulkan lebih 500 orang anak muda.

“Saya juga ingin menyeru supaya semua anak muda, pelajar-pelajar dan anak perantauan yang bekerja di luar… pulanglah untuk menunaikan tanggungjawab kita.

“Ini waktunya untuk kita memilih kerajaan. Sekiranya kita tidak tunaikan tanggungjawab, kita takut hasrat kita untuk melihat kepimpinan baru dalam mentadbir Negeri Sembilan gagal,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO