Bentong Perlu Terus Jadi Benteng UMNO, DUN Ketari Mesti Dirampas Semula
BENTONG, 27 Julai – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menyeru seluruh ahli dan kepimpinan akar umbi supaya terus memperkukuh kesatuan parti serta menggandakan gerak kerja bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan merampas semula DUN Ketari menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya sebuah wadah perjuangan yang dibina atas pengorbanan generasi terdahulu demi mempertahankan agama, bangsa dan negara serta menjadi pencetus kepada pelbagai agenda pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini.

Menurut beliau, semangat kebangkitan parti yang dizahirkan melalui kebangkitan ahli-ahli akar umbi perlu diterjemahkan di peringkat bahagian dengan memperkukuhkan organisasi, mempererat hubungan sesama ahli dan mendekati rakyat secara berterusan.
“Jangan pernah malu menjadi ahli UMNO. Jangan pernah takut membawa nama UMNO. Jangan pernah luntur semangat mempertahankan perjuangan UMNO kerana perjuangan ini bukan untuk kepentingan individu, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya yang berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong, Ahad.
Mohamad Zaini menegaskan Parlimen Bentong mempunyai kedudukan strategik dalam landskap politik Pahang, justeru seluruh jentera perlu memastikan DUNN Pelangai terus kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) di samping berusaha mengembalikan sokongan rakyat di Ketari melalui gerak kerja tersusun, kesatuan saf dan khidmat berterusan kepada masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan UMNO tidak hanya diukur menerusi kemenangan pilihan raya, tetapi juga sejauh mana parti mampu menjadi pembela rakyat ketika berdepan cabaran kos sara hidup, ekonomi, pendidikan dan pelbagai isu semasa.
Katanya, setiap cawangan perlu berfungsi sebagai pusat khidmat rakyat, manakala setiap pemimpin akar umbi mesti menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat dengan parti agar UMNO terus relevan dan dekat di hati masyarakat.
Mengulas kejayaan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata kemenangan tersebut membuktikan bahawa perpaduan, disiplin jentera serta kerja keras mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.
“PRN Johor mengajar kita bahawa rakyat tidak hanya melihat kepada retorik politik. Rakyat mahu pemimpin yang bekerja, parti yang mendengar dan wakil yang sentiasa bersama mereka ketika susah dan senang.”

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh ahli UMNO Bahagian Bentong supaya menjadikan kejayaan tersebut sebagai inspirasi untuk memperkukuh gerak kerja di semua peringkat tanpa menunggu musim pilihan raya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kepentingan UMNO menyesuaikan pendekatan politik dengan perkembangan teknologi dan media sosial bagi menangani penyebaran fitnah, manipulasi serta persepsi negatif yang boleh mengelirukan masyarakat.
Ahli-ahli parti, katanya, perlu menjadi ejen penerangan yang membawa fakta, menyebarkan maklumat tepat dan menampilkan politik yang matang.
Mohamad Zaini juga menyeru seluruh keluarga besar UMNO Bahagian Bentong agar terus mempertahankan semangat perjuangan, memperkukuhkan saf dan bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan UMNO terus menjadi parti yang diyakini rakyat serta menyumbang kepada kemenangan BN di Pahang dan negara. – UMNO Online
