PRN NS: Qayyum Pemimpin Muda, Sambung Legasi Di Senaling

KUALA PILAH, 24 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Qayyum Abd Jalil menyifatkan pemilihan beliau mewakili parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai peluang untuk meneruskan legasi pembangunan Senaling.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata tanggungjawab tersebut akan digalas sebaik mungkin dengan meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim.

“Sebagai pimpinan muda, saya menyambung legasi kepimpinan terdahulu. Saya akan pastikan perkara-perkara baik yang telah dilaksanakan diteruskan dan ditambah baik.

“Insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya memastikan masa depan Senaling menjadi lebih baik, khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat,” katanya.

Qayyum berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas tinjauan mesra bertemu peniaga dan pengundi di sekitar Pasar Awam Kuala Pilah.

Sementara itu beliau turut menyifatkan pengalaman lebih sedekad dalam politik menjadi kelebihan untuk mendekati masyarakat.

Dalam pada itu Qayyum berkata sekiranya diberi mandat, tumpuan utama adalah membangunkan kawasan luar bandar di Senaling, terutama dalam menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan muda.

“Saya mula aktif dalam politik sejak berusia 21 tahun dan hari ini saya berusia 36 tahun. Hampir 15 tahun saya menabur bakti di Kuala Pilah.

“Pengalaman itu menjadi kelebihan kerana masyarakat di Senaling mengenali saya dan mengetahui cara saya bekerja serta bagaimana BN berkhidmat kepada rakyat.

“Senaling merupakan kawasan yang majoritinya luar bandar. Saya mahu melihat bagaimana kita boleh membangunkan kawasan ini supaya anak-anak muda mendapat peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang baik tanpa perlu berhijrah ke luar daerah,” katanya.

Untuk rekod, Qayyum berhadapan saingan tiga penjuru di antara calon Pakatan Harapan dan Bersatu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO