Mohd Zaidy Tekad Pertahan DUN Jeram Padang, Teruskan Khidmat Kepada Rakyat
JEMPOL, 16 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang sekali lagi diberikan kepadanya untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Penyandang kerusi DUN itu berkata, amanah yang diberikan akan dipikul dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab dan komitmen demi meneruskan khidmat bakti kepada seluruh masyarakat di Jeram Padang.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya saya sekali lagi diberi peluang dan kepercayaan untuk menjadi calon Barisan Nasional bagi N.07 Jeram Padang pada Pilihan Raya Negeri kali ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya tujukan kepada seluruh rakyat DUN Jeram Padang yang tidak putus-putus mendoakan serta memberikan sokongan kepada saya.
“Amanah ini akan saya pikul dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab dan komitmen demi meneruskan khidmat bakti kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan yang diberikan untuk beliau sekali lagi mempertahankan kerusi Jeram Padang.
Beliau pada masa sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta seluruh barisan kepimpinan BN yang terus memberikan sokongan dan keyakinan kepadanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan isteri, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjuangan politiknya.
Tidak ketinggalan, Mohd Zaidy menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera komponen BN merangkumi UMNO, MCA, MIC, PPP, IPF, Makkal Sakthi serta Friends of Barisan Nasional DUN Jeram Padang yang disifatkannya sentiasa bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar memperkukuhkan saf perjuangan dan bergerak seiring dalam memastikan kemenangan BN pada PRN kali ini.
“Kini tiba masanya kita bergerak seiring dan sehati. Marilah kita terus memperkukuhkan perpaduan, menggandakan usaha serta turun menemui rakyat dengan semangat kebersamaan demi memastikan Barisan Nasional terus mendapat mandat untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada Jeram Padang,” katanya. – UMNO ONLINE
