Jentera DUN Gemencheh Diperkasa, Mohd Isam Mahu Semua Bersedia Hadapi PRN

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa terus memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera apabila mengadakan perjumpaan bersama Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh bagi memperincikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Mohd Isam yang juga Ahli Parlimen Tampin, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan gerak kerja pilihan raya agar setiap jentera berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik menjelang hari pengundian.

“Perbincangan tertumpu kepada penyusunan gerak kerja jentera, jadual pergerakan, pembahagian tugas serta memastikan setiap keperluan di bilik gerakan dan pusat daerah mengundi (PDM) dilengkapkan mengikut perancangan.

“Saya turut mengingatkan agar semua syarat dan prosedur pilihan raya dipatuhi, di samping memastikan segala maklumat sentiasa diselaraskan dan dikemas kini supaya gerak kerja berjalan dengan lebih tersusun, lancar dan berkesan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Tambahnya lagi, kejayaan dalam pilihan raya bukan hanya bergantung kepada semangat yang tinggi, sebaliknya memerlukan perancangan yang tersusun, disiplin yang mantap serta kerjasama padu daripada seluruh jentera.

“Pilihan raya bukan hanya memerlukan semangat, tetapi juga perancangan yang rapi, disiplin dan kerjasama daripada seluruh jentera.

“Apabila semua memainkan peranan masing-masing, Insya-Allah kita akan lebih bersedia menghadapi PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Isam berkongsi pertemuan beliau bersama belia di FELDA Jelai dan FELDA Bukit Rokan, program kemasyarakatan bersama pelajar Tingkatan 6, Hari Pendidikan Kemahiran KEMAS yang turut melibatkan golongan belia dan bertemu jentera Pemuda UMNO Bahagian Tampin.

“Saya sentiasa percaya, anak muda bukan sekadar pelapis, tetapi rakan seperjuangan yang akan menentukan hala tuju masa depan. Sebab itu saya sentiasa mengambil peluang untuk mendengar pandangan, berkongsi pengalaman dan memahami sendiri harapan mereka,” katanya.

Seterusnya, Mohd Isam berharap seluruh Pemuda UMNO Bahagian Tampin terus memperkukuhkan gerak kerja, merapatkan saf dan menjadi pasukan yang sentiasa berada di hadapan dalam mendekati masyarakat.

“Insya-Allah, selagi ada ruang dan peluang, saya akan terus bersama anak-anak muda kerana kekuatan parti pada masa hadapan bermula dengan kekuatan generasi muda hari ini,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO