Kemenangan DUN Bukit Permai Bukti Keyakinan Rakyat Terhadap BN
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya lalu.
Menurut beliau, kemenangan itu bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya hasil usaha gigih seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen selain sokongan padu para pengundi.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kepimpinan parti, seluruh jentera parti, keluarga serta semua pihak yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan ini.
“Alhamdulillah, mandat rakyat terus kekal bersama BN di Johor dan saya amat menghargai pengorbanan para pengundi yang pulang dari pelbagai tempat semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada UMNO-Online selepas keputusan rasmi.
Beliau berkata kemenangan tersebut turut menjadi penghargaan kepada usaha yang dilaksanakan sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, meskipun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan demi kepentingan masyarakat.
“Saya akan terus menyelesaikan segala isu yang masih tertangguh dan berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau sokongan politik kerana itulah tanggungjawab seorang wakil rakyat,” ujarnya.
Mengulas kejayaan BN mempertahankan kerajaan negeri, Mohd Jafni berkata ia membuktikan rakyat terus meletakkan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan Johor yang diterajui Menteri Besar.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor, Bakul Kasih serta program kebajikan lain yang memberi manfaat kepada lebih 1.3 juta rakyat menjadi bukti bahawa kerajaan BN sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan sekadar retorik, tetapi hasil kerja yang dapat dirasai sendiri oleh rakyat. Insya-Allah bagi penggal baharu ini kita akan bekerja lebih kuat, menunaikan segala janji dan memastikan agenda Maju Johor 2030 terus direalisasikan agar manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat,” katanya.- UMNO Online
