Tenggaroh Tekad Sumbang Kerusi Kemenangan Buat BN – Youzami
TENGGAROH, 9 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mohd Youzami Yusuf menegaskan jentera parti di kawasan itu akan terus bekerja keras dan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Menurutnya, seluruh jentera BN di DUN Tenggaroh kini berada dalam keadaan siap siaga dan tidak akan mengendurkan gerak kerja sehingga tamat proses pengundian.
“Kami di DUN Tenggaroh sentiasa bersiap sedia dan akan terus berusaha sehingga ke titisan darah terakhir pada hari pengundian 11 Julai ini dan bagi memastikan N33 Tenggaroh akan menyumbang kerusi dari 56 yang dipertandingkan oleh BN.
“Pengundi-pengundi di DUN Tenggaroh amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana telah berkorban memberikan kerusi kepada UMNO untuk bertanding di kawasan ini.
“Kami tetap setia dan berikan kemenangan pada BN walaupun sebelum ini kerusi Tenggaroh tidak pernah tanding oleh UMNO. Selama 10 tahun kerusi ini diberikan pada Mca dan 40 tahun diberi peluang oleh Mic,” katanya di Dewan Serbaguna Tenggaroh Dua.
Beliau berkata demikian pada program Jalinan Ukhwah Mufakat Felda Pahang bersama warga Felda Tenggaroh Dua.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi dan jentera BN empat peringkat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Mersing menjelaskan, fokus utama adalah memastikan semua pengundi yang dikenal pasti menyokong BN, dapat digerakkan keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Kita tidak leka dan teruskan gerak kerja sehingga hari pengundian. Kita keluarkan semua pengundi-pengundi terutamanya pengundi putih,” katanya lagi.
Dalam masa sama beliau menzahirkan rasa syukur apabila kepimpinan tertinggi parti mengambil kira pandangan serta keluhan yang disuarakan oleh akar umbi UMNO.
“Kami merasa syukur bahawa kepimpinan tertinggi mendengar keluhan dari akar umbi UMNO dan kami akan gunakan peluang ini untuk dapatkan kemenangan pertama bagi UMNO dengan majoriti yang lebih.
“Saya mohon restu dan kerjasama dari semua pihak serta jentera-jentera BN terutamanya pengundi-pengundi di sini,” ujarnya. – UMNO Online
