Johor Bukan Medan Eksperimen Politik, Beri Mandat Kukuh Kepada BN – Ahli Parlimen Tenggara

TENGGARA, 6 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyeru Bangsa Johor agar tidak mempertaruhkan masa depan negeri dengan melakukan eksperimen politik, sebaliknya terus memberikan mandat yang kukuh kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, sepanjang empat tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pelbagai pencapaian dan agenda pembangunan telah berjaya dilaksanakan, justeru kesinambungan pentadbiran itu perlu diteruskan.

“Johor tidak boleh dijadikan medan eksperimen. Berikan mandat yang lebih besar kepada Barisan Nasional supaya segala perancangan untuk rakyat dapat diteruskan dengan lebih lancar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkempen membantu calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Dr. Muhammad Naqib Ghazali, di sini.

Mengulas lanjut, Manndzri berkata BN membuktikan kesediaannya mentadbir apabila tampil lebih awal mengumumkan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai calon Menteri Besar serta membentangkan manifesto yang lengkap untuk dinilai rakyat.

Sebaliknya, katanya sehingga kini pihak lawan masih gagal menampilkan calon Menteri Besar yang jelas, selain manifesto yang disifatkannya sekadar mengulangi pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini.

“Barisan Nasional sentiasa menjadi pelopor dalam membawa idea dan dasar untuk rakyat. Banyak inisiatif yang diperkenalkan kerajaan hari ini sebenarnya bermula daripada dasar dan pendekatan yang telah dibawa BN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat mengenai kenyataan pemimpin mereka sebelum ini bahawa manifesto bukan satu “kitab suci”, sambil menegaskan bahawa bagi BN, manifesto merupakan aku janji yang mesti diusahakan pelaksanaannya.

“Manifesto bukan sekadar dokumen untuk meraih undi, tetapi komitmen kepada rakyat. Sebab itu BN sentiasa berusaha menunaikan apa yang dijanjikan mengikut kemampuan dan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Bangsa Johor supaya terus memberikan sokongan kepada calon-calon BN bagi memastikan Johor kekal stabil, terus membangun dan mampu menawarkan masa depan yang lebih baik kepada seluruh rakyat.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO