Dr. Muhammad Naqib Garis Lima Keutamaan Untuk DUN Panti

TENGGARA, 6 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Dr. Muhammad Naqib Ghazali menggariskan lima keutamaan yang akan diberi fokus dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata kesinambungan kepada apa yang telah dirancang serta dilaksanakan oleh wakil rakyat sebelum ini akan diteruskan serta diperkasakan lagi demi manfaat masyarakat setempat

“Jika diberi kepercayaan ini antara keutamaan saya yang pertama memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi platform digital bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan, cadangan dan mendapatkan maklum balas daripada wakil rakyat.

“Selain itu, beliau berkata program turun padang akan dilaksanakan secara berkala bagi membolehkan rakyat bertemu secara langsung dengan wakil rakyat serta jabatan kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai isu setempat.

“Bukan sekadar wakil rakyat, malah jabatan dan agensi berkaitan juga perlu turun padang supaya penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih berkesan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dr. Muhammad Naqib seterusnya berkata fokus kedua ialah menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan raya, bangunan kerajaan, sekolah dan kemudahan awam yang masih memerlukan penambahbaikan.

Menurut beliau, banyak aduan diterima khususnya daripada golongan muda mengenai keadaan jalan raya yang rosak sehingga mengundang kemalangan, selain kemudahan lain yang memerlukan pembaikan.

Beliau berkata fokus ketiga ialah memperluaskan peluang kepada golongan muda menerusi akses kepada maklumat, latihan dan peluang ekonomi termasuk keusahawanan serta perniagaan dalam talian.

Katanya, fokus keempat ialah memperkasakan sektor pelancongan tempatan dengan menyelaras produk pelancongan sedia ada bagi menarik lebih ramai pelancong sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, beliau berkata fokus kelima ialah menyelesaikan isu perumahan generasi baharu di kawasan Felda, khususnya di bawah Parlimen Tenggara.

Beliau berkata usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membangunkan perumahan generasi baharu selepas cadangan tapak sebelum ini didapati berisiko banjir.

Menurutnya, penyediaan tanah bagi pembangunan penempatan baharu dan keperluan generasi muda akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat terus menetap dan membina kehidupan di kawasan sendiri.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO