Omar Hafidz, Anak Bekas ADUN Rengit Perkukuh Jentera BN di Batu Pahat
BATU PAHAT, 5 Julai – Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Batu Pahat terus mendapat perhatian apabila anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Omar Hafidz Mohd Puad menyatakan komitmen untuk membantu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah berkenaan.
Menerusi satu perkongsian oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang merupakan negeri angkat bagi UMNO Batu Pahat memaklumkan, anak kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Dato’ Dr Mohd Puad Zarkashi itu tampil menyatakan sokongan terbuka kepada BN.
Beliau berkata Omar menyatakan komitmennya untuk membantu jentera BN di DUN Semerah, Rengit dan Penggaram bagi memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding.
“Beliau berjanji akan bertungkus lumus membantu dan pastikan calon BN di DUN Semerah, Rengit dan juga Penggaram akan menang. Beliau memaklumkan akan kerja kuat bersama jentera BN yang lain dalam usaha membantu kemenangan calon-calon BN,” katanya.
Kenyataan itu sekali gus memperlihatkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga bekas pemimpin tempatan terhadap jentera BN yang sedang giat berkempen di kawasan terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO selepas pengumuman calon-calon dibuat. – UMNO Online
