Cikgu Syar’e Yakin Sentuhan Rakyat Kunci BN Rampas Semula DUN Bukit Kepong
PAGOH, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Ahmad Syari’e Yusof menegaskan bahawa pendekatan mendampingi dan menyantuni rakyat secara berterusan merupakan formula terbaik untuk mengembalikan kemenangan BN di kerusi berkenaan.
Katanya, nasihat Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan agar pemimpin sentiasa menjaga kebajikan rakyat serta turun padang menyantuni masyarakat menjadi pegangan yang diterjemahkan dalam gerak kerja beliau sejak diberikan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Bukit Kepong tiga tahun lalu.

Menurut anak jati Bukit Kepong itu, pendekatan tersebut telah dibuktikan berkesan kerana calon-calon UMNO dan BN yang mencatatkan majoriti undi besar sebelum ini ialah mereka yang sentiasa bersama rakyat serta memahami denyut nadi masyarakat.
“Nasihat Datuk Seri Mohamad Hasan cukup jelas, jaga rakyat, turun ke rumah, santuni mereka. Itulah yang saya pegang dan laksanakan sepanjang diberikan amanah di DUN Bukit Kepong.
“Kaedahnya mudah, jumpa rakyat, hadir bersama mereka dan hayati setiap masalah yang dihadapi oleh keluarga. Insya-Allah, dengan pendekatan ini UMNO dan Barisan Nasional mampu merampas semula DUN Bukit Kepong,” katanya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Syar’e.

Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar terus memperhebatkan gerak kerja sepanjang tempoh kempen dengan menggandakan usaha mendekati setiap lapisan masyarakat.
Tambah Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu, jika jentera telah bekerja tanpa henti selama ini, maka momentum tersebut perlu diteruskan dengan lebih agresif sehingga hari pengundian.
“Saya memohon seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional terus bergerak. Kita tingkatkan usaha, perkukuhkan perpaduan dan pastikan setiap pengundi disantuni. Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kemenangan akan kembali menjadi milik BN di Bukit Kepong,” ujar bekas pendidik dengan jawatan terakhir sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gombang, Pagoh.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Universiti Sains Malaysia itu memulakan kerjayanya sebagai guru pada 1999 di Sekolah Kebangsaan Taman Muda Ampang dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. – UMNO ONLINE
