Anuar Tekad Terus Perjuangkan Agenda Pembangunan DUN Pemanis

SEGAMAT, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Abd Manap bertekad meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang sepanjang empat tahun lalu sekiranya diberi mandat sekali lagi oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

Menurut beliau, tempoh empat tahun bukanlah masa yang panjang untuk merealisasikan pelbagai perancangan kerana setiap projek memerlukan penelitian, kelulusan dan proses yang panjang sebelum dapat dilaksanakan.

Katanya, antara keutamaan yang akan terus diperjuangkan ialah projek pelebaran Jalan Persekutuan Segamat–Kuantan daripada satu lorong kepada dua lorong demi meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna.

“Saya telah memperjuangkan perkara ini sejak tahun lalu. Daripada langsung tidak tersenarai dalam keutamaan pembangunan negeri, kini projek ini sudah berada dalam kelompok 10 keutamaan.

“Perjuangan ini tidak akan terhenti di situ. Saya akan terus mendesak sehingga projek ini menjadi antara keutamaan utama untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, sektor pertanian yang menjadi nadi ekonomi Pemanis turut akan terus diperkasakan memandangkan hampir 80 peratus kawasan DUN tersebut melibatkan aktiviti komoditi dan pertanian.

Jelasnya, pembangunan Agromix Farm kini memasuki fasa keempat dengan beberapa pelaburan baharu dijangka direalisasikan termasuk projek penanaman nanas MD2 seluas 40 hektar serta kemasukan beberapa syarikat berskala besar menjelang penghujung tahun ini.

Dalam masa sama, Anuar turut merancang mewujudkan sebuah kawasan industri berpusat bagi menempatkan kilang-kilang yang kini beroperasi secara berselerak berhampiran kawasan penempatan penduduk.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja mampu mengurangkan gangguan kepada penduduk seperti isu utiliti dan persekitaran, malah memudahkan penyelarasan pembangunan industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Kita telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri dan kini menunggu kelulusan selepas beberapa syarat berkaitan perancangan dipenuhi. Ini antara agenda penting yang akan terus saya perjuangkan,” katanya.

Selain aspek ekonomi, beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dengan memperjuangkan pembinaan sekolah agama di Kampung Tengah serta menaik taraf sebuah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, kedua-dua projek tersebut kini menunjukkan perkembangan positif apabila urusan tanah telah selesai manakala cadangan pembangunan sekolah telah tersenarai dalam kelompok lima keutamaan.

“Saya akan terus memperjuangkan semua agenda ini kerana pembangunan di Segamat memerlukan usaha yang berterusan. Mungkin kita tidak membangun sepantas kawasan lain di selatan Johor, namun saya yakin dengan kesungguhan dan sokongan rakyat, lebih banyak pembangunan dapat direalisasikan demi kesejahteraan masyarakat di DUN Pemanis,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO