Momentum Positif Bukti Keyakinan Pengundi, Ramlee Tekad Pertahan DUN Kempas
PULAI, 1 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani menyifatkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen sejak penamaan calon Sabtu lalu sebagai petanda positif terhadap keyakinan rakyat untuk terus mengekalkan kemenangan BN di kerusi tersebut.
Menurut beliau, kemesraan yang ditunjukkan pengundi sepanjang sesi bertemu rakyat membuktikan hubungan yang terjalin sejak beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat semakin kukuh dan memberikan suntikan semangat kepada seluruh jentera kempen.

“Alhamdulillah, sepanjang beberapa hari berkempen ini saya melihat reaksi pengundi di Kempas amat positif. Mereka menerima saya dan pasukan dengan baik, malah suasananya jauh lebih mesra berbanding ketika saya bertanding dahulu.
“Mungkin selepas berkhidmat selama satu penggal, masyarakat lebih mengenali saya dan hubungan yang lebih rapat ini menyebabkan mereka menyambut kehadiran kami dengan penuh kemesraan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas bertemu pengundi dalam sesi walkabout di Taman Dahlia, di sini, semalam.
Ramlee berkata baki beberapa hari sebelum hari pengundian akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperhebatkan gerak kerja kempen dengan menyantuni seramai mungkin pengundi di seluruh DUN Kempas yang mempunyai lebih 60,000 pemilih.
“Insya-Allah kami akan terus mengekalkan momentum kempen ini. Kami akan menjelajah ke seluruh kawasan supaya dapat bertemu dan menyantuni seramai mungkin pengundi serta menyampaikan hasrat dan tawaran BN secara terus kepada mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Johor khususnya pengundi di Kempas agar terus memberikan mandat kepada BN demi memastikan kesinambungan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkannya berjaya membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negeri.

“Rakyat sendiri dapat melihat bagaimana kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membawa pelbagai kejayaan kepada Johor. Kemakmuran yang dikecapi hari ini diterjemahkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan bantuan.
“Saya berpandangan kepimpinan sedia ada perlu dikekalkan supaya agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.
Ramlee turut menolak dakwaan bahawa pelbagai bantuan kerajaan negeri merupakan ‘gula-gula politik’, sebaliknya menegaskan inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) telah dilaksanakan secara konsisten sejak BN kembali menerajui pentadbiran negeri.
“Program kebajikan ini bukan diwujudkan kerana pilihan raya. Ia telah dilaksanakan sejak awal pentadbiran kerajaan BN di Johor dan sentiasa diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat.
“Komitmen kerajaan negeri jelas, iaitu memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya lagi. – UMNO Online
