DUN Penawar Dibanjiri Gelombang Biru, Semangat BN Menyerlah
PENAWAR, 27 Jun – Bandar Penawar bergema dengan laungan semangat perjuangan apabila ribuan penyokong, ahli dan jentera Barisan Nasional (BN) membanjiri bandar itu dalam perarakan gelombang biru dengan penuh semangat dan meriah.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengetuai perarakan ini bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Fauziah Misri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Azalina yang berbaju korporat BN bersama rombongan penyokong parti berarak mengiring calon ke pusat penamaan di Dewan Kejora Bandar Penawar pada jam 8.45 pagi.
Tinjauan UMNO Online mendapati gelombang biru yang memenuhi setiap sudut Bandar Penawar turut menjadi isyarat jelas bahawa jentera BN kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang hari pengundian, dengan semangat yang semakin utuh untuk membawa parti mencapai kemenangan.
Suasana di pekarangan pusat penamaan calon juga hangat dan meriah dengan sorakan penyokong selain membawa sepanduk dan bendera sebagai simbolik solidariti bersama calon.
Kehadiran penyokong BN mencerminkan kesatuan dan iltizam dalam menghadapi PRN Johor, selain membuktikan kesiapsiagaan jentera untuk turun padang mendekati rakyat sepanjang tempoh kempen.
Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan calon-calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Johor ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 21 Mei.
SPR menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat). – UMNO Online
