Jentera BN Parlimen Pagoh Dilancarkan, Ismail Yakin Bukit Pasir Kekal Milik BN
PAGOH, 22 Jun – Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pagoh telah dilancarkan dengan jayanya dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dan disempurnakan oleh Saarani Mohamad.
Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Ismail Mohamed, berkata semangat dan kehadiran jentera serta penyokong yang membanjiri majlis tersebut memberikan keyakinan bahawa BN mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir serta merampas kembali DUN Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, pelancaran jentera itu menjadi titik permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun bagi meyakinkan rakyat bahawa BN merupakan pilihan terbaik untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil dan berupaya membela kebajikan rakyat.
“Masa telah tiba untuk seluruh jentera Barisan Nasional kembali bekerja dan turun padang bagi menyampaikan mesej bahawa hanya BN mampu meneruskan agenda pembangunan serta merealisasikan hasrat Maju Johor,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, termasuk parti-parti komponen BN yang terus menunjukkan komitmen dan kerjasama erat dalam menghadapi pilihan raya.
Ismail berkata, semangat perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh seluruh jentera diyakini mampu membantu BN mencapai sasaran yang ditetapkan di Parlimen Pagoh.

“Insya-Allah, kita akan mempertahankan DUN Bukit Pasir dan merampas kembali DUN Bukit Kepong. Ayuh seluruh jentera Barisan Nasional, pastikan matlamat kita di Pagoh tercapai,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon PRN Johor, diikuti tempoh berkempen selama 14 hari sebelum pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai. – UMNO Online
