Terima Kasih MB Perak, Lulus Permohonan Untuk Manfaat Rakyat – ADUN Behrang
SLIM RIVER, 21 Mei — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas kelulusan beberapa permohonan melibatkan surau dan kemudahan komuniti di kawasan Behrang dan Muallim.
Menurut beliau, kelulusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat serta pembangunan kemudahan masyarakat terus diberi perhatian.

“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Perak atas kelulusan beberapa permohonan yang amat penting untuk manfaat penduduk di kawasan Behrang dan Muallim.
“Ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada masyarakat setempat, malah memperkukuhkan institusi surau sebagai pusat komuniti dan ibadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara projek yang telah diluluskan ialah kerja baik pulih Surau Kampung Sungai Dara, Behrang Ulu melibatkan kos RM74,556 serta kerja baik pulih Surau Al-Ibroh Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Behrang Ulu berjumlah RM99,912.
Turut diluluskan ialah sumbangan pemasangan karpet baharu Surau Al-Muttaqin di Taman Slim Permai, Slim River sebanyak RM29,941 serta pembinaan baharu surau berserta kerja berkaitan di Kampung Orang Asli Sungai Lembing, Muallim melibatkan peruntukan RM331,000.
Keseluruhan kelulusan tersebut melibatkan lebih RM535,000 bagi manfaat masyarakat setempat.
“Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah buat semua yang terlibat dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu beliau telah berkunjung ke Surau Al Ibroh di Kampung Sungai Sekiah bagi memaklumkan kepada Ketua Kampung bahawa permohonan surau yang dipanjangkan kepada Menteri Besar Perak telah diluluskan.

“Alhamdulillah, Datuk Seri Saarani Mohamad meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk kerja-kerja baik pulih surau tersebut,” katanya.
Selepas itu, Salina berkesempatan meneruskan program ziarah kasih ke Kampung Ketoyong dengan pelbagai kisah kehidupan masyarakat dapat disentuh dan didengari.
“Ada yang menunggu bantuan tanpa banyak bersuara. Ada juga yang lebih selesa memendam daripada menyusahkan orang lain. Sebab itu kadang-kadang, hadir bertanya khabar dan duduk mendengar pun sudah cukup memberi makna buat mereka.
“Beginilah perjalanan yang selalu mengingatkan bahawa di sebalik setiap rumah dan lorong kampung, ada cerita hidup yang tak semua orang nampak,” katanya lagi. – UMNO Online
