Pemuda UMNO Negeri Sembilan Tolak Tuduhan Derhaka Terhadap Istana
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap siri kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 3 Mei lalu yang didakwa cuba membina persepsi negatif terhadap UMNO Negeri Sembilan.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Megat Shahriman menerusi sekretariat berkenaan bukan sahaja bersifat emosional dan bermotif politik, malah secara konsisten cuba menggambarkan seolah-olah UMNO Negeri Sembilan telah ‘menderhaka’ kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jelasnya, tuduhan sedemikian tidak boleh dilemparkan secara sewenang-wenangnya tanpa asas fakta, peruntukan undang-undang mahupun pendirian rasmi pihak Istana.
“Sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Istana yang menyatakan UMNO Negeri Sembilan melakukan penderhakaan seperti didakwa. Persoalannya, atas kapasiti apakah Sekretariat ini bercakap seolaholah menjadi jurucakap rasmi kepada DYMM Tuanku.
“Lebih membimbangkan apabila nama DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan digunakan secara berterusan dalam sebuah gerakan yang jelas membawa nada politik kepartian, menyerang parti politik tertentu serta menyeru rakyat menghukum lawan politik di peti undi.
“Institusi Diraja mesti dihormati dan dipertahankan daripada sebarang cubaan eksploitasi politik. Kesetiaan kepada Raja tidak boleh dimonopoli oleh manamana kelompok, apatah lagi dijadikan alat untuk melabel pihak lain sebagai ‘penderhaka’ hanya kerana berbeza pandangan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam masa sama, Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut mengingatkan bahawa pihaknya sebelum ini telah membangkitkan beberapa persoalan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri termasuk isu melibatkan adat dan sensitiviti Negeri Sembilan, namun dakwa beliau, perkara itu masih gagal dijawab secara tuntas.
Sebaliknya katanya, perhatian rakyat cuba dialihkan melalui permainan sentimen dan tuduhan bersifat emosi.
“Kami percaya rakyat Negeri Sembilan cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar mempertahankan Institusi Diraja secara berhemah dan siapa yang sedang menjadikan nama DYMM Tuanku sebagai perisai politik bagi menyerang lawan,” katanya lagi.
Mohamad Fadil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban turut menuntut penjelasan berhubung status sebenar sekretariat terbabit termasuk sumber pembiayaan, pihak yang menggerakkan gerakan tersebut serta sama ada mereka memiliki mandat rasmi daripada pihak Istana untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Beliau menegaskan, mempertahankan Institusi Diraja tidak bermaksud membenarkan mana-mana pihak mempergunakan nama DYMM Tuanku demi kepentingan politik tertentu.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan terus mempertahankan Raja Berperlembagaan, Institusi Adat dan keharmonian negeri secara matang, bertanggungjawab serta berlandaskan fakta, bukannya dengan budaya tuduh-menuduh dan melabel pihak lain sebagai penderhaka.
“Institusi Raja wajib dijunjung tinggi dan pada masa sama mesti dipelihara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik,” tegasnya. – UMNO Online
