Dakwa PPRT Kampung Tawai Batal: Saarani Sanggah Fitnah ADUN Kenering
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyanggah fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Mohamad Husairi Ariffin yang menyatakan kononnya sebuah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai, Gerik dibatalkan.
Ujarnya, maklumat tersebut adalah tidak benar sama sekali selepas diselidik dan dirujuk kepada pihak-pihak berkaitan.

“Walaupun saya ucap terima kasih, kita berbahas dengan baik… tetapi saya terkesan kerana ada beberapa orang penghujah yang memberi fakta yang salah, berbohong dan membawa fitnah.
“Apa yang ADUN Kenering sampaikan di dewan ini telah viral di media sosial sekarang ini, beliau mengatakan bahawa ada satu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai, Gerik telah pun mendapat kelulusan RM50 juta tetapi terpaksa dibatalkan kerana ada bantahan orang kampung termasuk Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
“Kampung Tawai itu di Gerik, dalam kawasan Parlimen Lenggong. Saya ini Ketua UMNO Bahagian Lenggong. Saya tidak akan biarkan perkara itu berlaku sebab itu saya rujuk semua pihak dan telefon pegawai daerah. Saya cari maklumat benar, menanyakan adakah dakwaan ADUN Kenering ini benar? Jawapannya adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan DUN Perak, pada Selasa.
Ujarnya, projek sebenar yang sedang dirancang di kawasan tersebut adalah Program Pembangunan Kawasan (PPK) dan ia menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ini kerana pertama, namanya bukan PPRT. Namanya adalah PPK. Itu adalah peruntukan daripada KKDW. Belum pun diluluskan sebab pejabat daerah baru hantar dengan permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dimasukkan dalam Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Baru masuk, belum lulus. Memang betul ada bantahan orang Kampung Tawai sebab tempat itu sudah pun ada cadangan nak dibuat Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).
“Pentadbiran daerah mengambil kira bantahan itu maka nak diubah tempat lain, bukan dibatalkan. Ahli Parlimen Lenggong juga tidak membantah sama sekali. Tetapi dalam ucapan ADUN Kenering ini… kalau saya menipu, mana-mana ahli berhormat boleh bangun untuk menyanggah saya. Ini kalau bukan fitnah, apa?” katanya lagi.
Sementara itu, Mohamad Husairi kemudian bangun mencelah ketika perbahasan dengan mengemukakan permohonan maaf di dalam Dewan.
“Terima kasih kepada Datuk Seri, Yang di-Pertua dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beri laluan kepada saya. Saya memohon maaf jikalau fakta yang saya sebut itu merupakan kesalahan dengan apa yang sebenarnya. Saya akur dengan apa jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
