Dari Parlimen: Permohonan Laluan Memotong FT136 Akan Diteliti Semula

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti semula permohonan berkaitan pembinaan laluan memotong di jalan persekutuan FT136 melibatkan laluan Kuala Ketil–Merbau Pulas–Lunas–Pekan Bandar Baharu, sekiranya ia dikemukakan semula oleh Kerajaan Negeri Kedah pada Rolling Plan akan datang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihak kementerian sebelum ini telah mengangkat permohonan Projek Naik Taraf Jalan Persekutuan Kulim–Bandar Baharu, laluan FT136 dari Kulim Hi-Tech ke persimpangan tol Bandar Baharu, Kedah untuk pertimbangan agensi pusat.

“Kementerian ingin mengambil maklum cadangan membina laluan memotong dan lampu jalan di jalan yang berkaitan… kita telah mengangkat permohonan bagi Projek Naik Taraf Jalan Persekutuan Kulim Bandar Baharu laluan FT136 dari Kulim Hi-Tech ke persimpangan tol Bandar Baharu Kedah.

“Pakej 1 di bawah Seksyen 47.4 (37.7) bagi Kerja Awalan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk pertimbangan agensi pusat. Walaubagaimanapun, dukacita dimaklumkan bahawa permohonan tersebut tidak mendapat kelulusan.

“Sehubungan itu Kementerian ini akan meneliti semula. Apabila dimohon oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui Penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri pada Rolling Plan yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa sebanyak RM2.4 juta telah diluluskan pada tahun 2025 untuk pemasangan lampu jalan di 24 lokasi di Negeri Kedah.

“Mengenai lampu jalan, berdasarkan rekod sebanyak 32 lokasi berjumlah RM32.5 juta di bawah Jalan Persekutuan Tahun 2022/2024. Daripada jumlah tersebut sebanyak empat lokasi di Jalan Persekutuan yang disebutkan sebentar tadi kosnya berjumlah RM470 ribu.

“Pada tahun 2025, sejumlah RM2.4 juta diluluskan pemasangan lampu jalan di 24 lokasi di Negeri Kedah dan empat lokasi di jalan yang dimaksudkan.

“Projek ini melibatkan kos sebanyak RM400,000 dan akan dilaksanakan di laluan Jalan Serdang–Bandar Baharu, Jalan Serdang–Kampung Permata Kerat Telunjuk, simpang tiga Taman Seksyen 19–20 di Jalan Kulim–Serdang, serta laluan Taman Mahkota–Taman Bestari (Seksyen 44 hingga 46).

“Selain itu, kerja turut dijalankan di Jalan Kulim–Lunas, di hadapan SMK Lunas, yang melibatkan kawasan sekolah dan perumahan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO