Medan Niaga Kampung Melayu Majidi Jadi Nadi Ekonomi Baharu Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 31 Okt — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini berkesempatan meninjau sendiri Medan Niaga Kampung Melayu Majidi yang menjadi nadi ekonomi baharu masyarakat setempat serta kebanggaan warga Johor Bahru.

Ujarnya, Medan Niaga tersebut merupakan hasil pembangunan semula pasar awam oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, melibatkan peruntukan sebanyak RM19.8 juta, selain tambahan RM7.79 juta bagi kerja-kerja naik taraf yang siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Jelas Onn Hafiz, kini, kompleks perniagaan moden itu menempatkan 147 unit premis merangkumi bazar, pasar basah, medan selera dan kedai serbaneka menjadikannya pusat tumpuan baharu yang menggabungkan elemen moden dengan nilai budaya serta komuniti setempat.

“Dalam lawatan ini, saya turut berpeluang bertemu dengan para peniaga dan mendengar sendiri cadangan mereka antaranya berkaitan fasiliti mesra OKU, kebersihan kawasan, penyelenggaraan longkang dan sistem perangkap lalat, sistem pengudaraan serta pencahayaan waktu malam bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi terus kekal sebagai pusat perniagaan utama yang memberi manfaat kepada rakyat, di samping menyediakan makanan yang sedap, harga berpatutan dan suasana yang selesa untuk semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini seiring dengan tekad Kerajaan Negeri dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, memperkukuh ekonomi tempatan dan memastikan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO