Mahasiswa Teruja, Najib Serahkan Bantuan Komputer Riba Siswa Johor
BATU PAHAT, 31 Okt — Usaha kerajaan negeri memperkasa sektor pendidikan menerusi Bantuan Komputer Riba Siswa Johor dilihat sebagai langkah terbaik dalam membantu pelajar yang memerlukan, khususnya daripada keluarga B40.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi kemudahan pembelajaran kepada mahasiswa, malah menjadi galakan kepada anak-anak Johor untuk menyambung pengajian ke menara gading.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri turun padang menyerahkan komputer riba kepada dua beradik kembar, Nur Zawanah dan Nur Zahirah Khairul Azhar, yang masing-masing melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIDI dan Universiti Malaya (UM).
“Rezeki berganda buat keluarga ini. Semoga kedua-duanya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang diterima untuk terus cemerlang dalam pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, di DUN yang sama beliau dan rombongan yang lain turut menyerahkan Bantuan Komputer Riba Siswa Johor kepada adik Nur Izatul Umairah.
“Sebenarnya ayah adik Nur Izatul Umairah ni tak tahu pun yang anaknya ada memohon Bantuan Laptop Siswa Johor. Agak terkejut Abang Kamarol bila kami datang ramai-ramai masa penyerahan komputer riba ini. Alhamdulillah rezeki anaknya yang juga sedang melanjutkan pengajian di UITM Shah Alam. Semoga adik Izatul terus maju jaya,” tambahnya.
Selain pelajar-pelajar berkenaan, Najib dan rombongan yang lain turut mengagihkan bantuan komputer riba berkenaan kepada siswa lain yang layak di DUN berkenaan.
Memetik laporan Kerajaan negeri Johor memperuntukkan perbelanjaan bagi bantuan komputer riba yang kepada 1,000 mahasiswa daripada keluarga B40 di bawah Belanjawan Johor 2025 untuk fasa satu dan sebanyak 3,000 pula untuk fasa kedua dalam usaha memperkasakan pendidikan generasi muda. Jumlah keseluruhan berjumlah 4,000 komputer riba.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, sebelum ini dilaporkan berkata program tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyokong pelajar pengajian sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, terutamanya pelajar Tahun 1, Semester 1 – UMNO Online
