Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Labuh Tirai di Kuala Lumpur dengan Penuh Kejayaan

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan menutup tirai dengan penuh kejayaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menandakan satu lagi pencapaian besar Malaysia sebagai tuan rumah kepada persidangan bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kejayaan penganjuran sidang berkenaan membuktikan kemampuan Malaysia menguruskan acara antarabangsa secara tersusun, berprestij dan penuh wibawa sebelum menyerahkan tanggungjawab kepengerusian ASEAN kepada Filipina.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya, sepanjang sidang berlangsung, pelbagai inisiatif besar telah diketengahkan termasuk usaha memperkukuh perdagangan, teknologi serta perpaduan sosial di rantau ini.

Ujarnya, sidang kali ini juga menyaksikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, sekali gus memperkukuh integrasi serantau.

“Alhamdulillah, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaan sebagai tuan rumah yang cemerlang. Saya merakamkan penghargaan kepada semua petugas, sukarelawan dan pasukan keselamatan yang telah bekerja siang dan malam memastikan kelancaran persidangan ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan penganjuran tersebut mencerminkan semangat kerjasama rakyat Malaysia yang menyerlah di pentas dunia.

“Insya-Allah, dengan momentum ini kita akan terus memacu aspirasi Malaysia MADANI demi membina ASEAN yang inklusif, mampan dan sejahtera bersama,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO