Kejayaan Johor Sebagai Smart State Pertama Malaysia Bukti Komitmen Kepimpinan Negeri
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menyifatkan pengiktirafan Johor sebagai Smart State pertama di Malaysia mencerminkan keberkesanan kepimpinan negeri dalam melaksanakan agenda transformasi digital yang berpaksikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi berasaskan teknologi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai berkata pencapaian ini sekaligus selari dengan gagasan Maju Johor yang digerakkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai agenda pembangunan menyeluruh negeri menjelang tahun 2030.
“Johor kini muncul sebagai peneraju nasional dalam pembangunan bandar pintar, dengan MBJB mencapai penarafan Tahap 3: Leading Smart City, manakala kesemua 16 PBT negeri mencatat sekurang-kurangnya Tahap: Smart City Early Adopter.
“Negeri ini kini berada di landasan yang kukuh untuk merealisasikan visi tersebut melalui pelaksanaan dasar berasaskan data, inovasi digital dan tadbir urus pintar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Md Israk juga meluahkan kepercayaan bahawa di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, konsep Smart City akan sentiasa ditambah baik dan mampu dilaksanakan di setiap PBT pada tahap tertinggi dengan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Katanya lagi, pencapaian ini bukan sahaja hasil kecekapan pelaksanaan dasar, tetapi juga manifestasi kestabilan politik dan pentadbiran negeri yang membolehkan perancangan strategik dilaksana secara konsisten dan berkesan.
“Ia turut memperkukuh asas kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai enjin pertumbuhan ekonomi serantau yang berdaya saing dan mampan.
“UMNO Johor akan terus mendukung kepimpinan Menteri Besar Johor dalam memastikan negeri ini kekal stabil, progresif dan berdaya saing sebagai negeri maju, makmur dan pintar,” ujar beliau. – UMNO Online
