Pelaburan Pembangunan RDCI Demi Masa Depan – Hasni

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad menyifatkan Belanjawan 2026 memperlihatkan langkah berani kerajaan ke arah kestabilan dan kecekapan fiskal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata melalui pendekatan ini ia sekaligus mengurangkan defisit, menutup ketirisan, dan mengoptimumkan perbelanjaan negara.

Bagaimanapun Hasni mengingatkan supaya perbelanjaan pembangunan negara tidak sekadar bertahan.

“Persoalan pentingnya, adakah kita sedang berbelanja untuk berkembang, atau sekadar bertahan? Perbelanjaan pembangunan negara (DE) semakin mengecil. Ketika jiran serantau mempergiat pelaburan dalam infrastruktur dan inovasi, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pemerhati di tengah kebangkitan ekonomi ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hasni kemudiannya menyambut baik tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta (RDCI) dengan peruntukan RM5.9 bilion, namun menegaskan jumlah itu masih jauh untuk mencapai sasaran 3.5 peratus GERD menjelang 2030.

“Sektor pertanian juga tidak wajar diketepikan, terutama Johor yang merupakan penyumbang terbesar hasil pertanian negara. Pemotongan lebih 80 peratus dalam perbelanjaan pembangunan pertanian adalah amaran besar kerana pertanian adalah nadi keterjaminan makanan,” tambah beliau.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peruntukan pembangunan terendah Kementerian Ekonomi sejak 2023, dan menyeru supaya paradigma pembangunan dilihat sebagai pelaburan masa depan.

“Belanjawan 2026 mesti menjadi bajet kebangkitan semula Malaysia. Sudah tiba masanya kita berhenti berbelanja untuk bertahan dan mula berbelanja untuk berkembang,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO