Kejayaan ASEAN 2025 Hasil Kolektif Pelbagai Pihak, Mohamad Hasan Zahir Penghargaan

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menzahirkan penghargaan atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia untuk berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan melabuhkan tirainya di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak kali ini adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak yang memastikan Malaysia dapat menggalas tanggungjawab memimpin ASEAN dengan penuh bermakna.

“Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar bagi Malaysia untuk berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. Usaha besar secara bersama telah menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan serta menyokong kepimpinan Malaysia di setiap langkah perjalanan penting ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Mohamad turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ketua Negara dan Ketua Kerajaan Negara Anggota ASEAN, rakan sejawat Menteri Luar ASEAN, serta rakan Dialog ASEAN termasuk Australia, Kanada, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, selain Brazil dan Afrika Selatan yang turut hadir sebagai tetamu pengerusi.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Setiausaha Agung ASEAN, wakil entiti ASEAN, serta rakan antarabangsa seperti Finland, Majlis Eropah, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diwakili oleh Setiausaha Agung António Guterres, dan Bank Dunia.

“Kepada anggota komuniti diplomatik, terima kasih kerana meluangkan masa dari jadual yang padat untuk bersama kami di Kuala Lumpur dan terus menunjukkan nilai murni serta semangat kerjasama erat yang telah menyatukan rantau kita sejak 1967,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepimpinan yang jelas dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh Malaysia memegang pengerusi ASEAN.

“Sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan Menteri Kabinet serta kementerian masing-masing amat bernilai dalam menjayakan tanggungjawab besar ini. Terima kasih, rakan-rakan sekalian,” katanya.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas penyelarasan dan kawalan keselamatan yang efisien sepanjang semua persidangan berlangsung.

“Kepada anggota dan pegawai keselamatan yang bertugas tanpa mengenal lelah, saya ucapkan terima kasih atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi,” tambahnya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama dan sokongan padu sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak tersebut.

“Saya berbangga menyambut tetamu serantau ke tanah air kita, kerana rakyat Malaysialah yang menjadi nadi kepada semangat perpaduan dan kekitaan yang mendasari ASEAN,” katanya.

Menurut beliau, selama lima hari persidangan berlangsung di Kuala Lumpur, para pemimpin telah mencapai kemajuan bermakna dan merangka hala tuju strategik baharu bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan antara ASEAN dengan rantau lain.

Antara pencapaian bersejarah sidang kali ini, kata beliau, ialah pengiktirafan rasmi penyertaan Timor Leste dalam ASEAN iaitu satu langkah penting yang melambangkan semangat ketabahan dan harapan baharu bagi rantau Asia Tenggara.

“Kita telah mencipta sejarah dengan memperluas skop ASEAN untuk merangkul sahabat baharu dari Timor Leste, sebuah negara yang dibina atas ketabahan dan harapan tanpa batas,” ujarnya.

Mohamad juga menyeru agar semua negara anggota terus memperkukuh semangat kekitaan dan perpaduan ASEAN bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran.

“Semoga perkongsian kita terus subur dan kita melangkah ke hadapan sebagai satu Komuniti ASEAN yang bersatu, teguh dan semakin kukuh,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan menegaskan komitmen berterusan negara untuk menyokong usaha mengukuhkan serta memajukan Komuniti ASEAN pada masa hadapan.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih sekali lagi kerana hadir di Kuala Lumpur. Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh ke arah memperkukuh dan memajukan Komuniti ASEAN,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO