Austime: Kerajaan Komited Perluas Akses Pendidikan Awal Kanak-Kanak Berkeperluan Khas – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kerajaan komited untuk memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan Khas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi potongan video yang dimuatnaik di halaman Facebooknya, beliau berkata, usaha tersebut akan digiatkan melalui penubuhan Tabika Autisme di seluruh negara.

“Kerajaan komited memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas melalui penubuhan Tabika Autisme di seluruh negara.
“Setakat ini, tiga Tabika Autisme sedang dilaksanakan sebagai projek rintis di Melaka. Tahun hadapan, inisiatif ini akan diperluas kepada satu negeri satu tabika autisme, sebelum mencapai sasaran satu daerah satu tabika autisme menjelang tahun 2027,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap agar usaha tersebut akan membuka lebih banyak ruang pendidikan inklusif untuk anak-anak autisme di negara ini.
“Melalui kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), guru-guru akan terus dilatih dan diperkasa bagi menyantuni anak-anak istimewa ini dengan pendekatan yang penuh kasih dan kefahaman.
“Insya-Allah, usaha ini akan membuka lebih banyak ruang pendidikan inklusif untuk anak-anak autisme di seluruh negara,” katanya lagi. – UMNO Online
