Disiplin Dan Akses Media Sosial Pelajar : UMNO Kedah Seru Pendekatan Menyeluruh
ALOR SETAR, 17 Okt – UMNO Kedah menyeru supaya pendekatan menyeluruh dan bersepadu dilaksanakan dalam menangani isu disiplin pelajar serta penggunaan media sosial secara tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata pihaknya memandang serius insiden yang berlaku di sebuah sekolah di Baling baru-baru ini, dan menyokong langkah tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk tindakan buang sekolah sekiranya perlu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, penyelesaian terhadap masalah disiplin pelajar tidak boleh bergantung kepada tindakan selepas kejadian semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pencegahan awal serta kerjasama pelbagai agensi.
“Pendekatan reaktif semata-mata tidak mencukupi. Kita perlu membina satu sistem pendidikan yang turut berperanan sebagai benteng awal terhadap gejala sosial generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara cadangan utama yang dikemukakan UMNO Kedah kepada KPM dan pihak berkuasa berkaitan termasuk:
1. Garis Panduan Kawalan Akses Digital Pelajar – KPM disaran bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi menggubal garis panduan khusus penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar termasuk disiplin berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan berisiko tinggi.
2. Perkukuh Kerjasama Sekolah dan Ibu Bapa melalui PIBG – Kerjasama dua hala antara guru dan ibu bapa perlu dipertingkatkan bagi memastikan pemantauan disiplin pelajar dijalankan secara berterusan sama ada di sekolah mahupun di rumah.
3. Rutin Lawatan dan Dialog Polis ke Sekolah – Pihak polis digalakkan melaksanakan lawatan berkala serta sesi dialog ke sekolah berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan awal dan memberi kesedaran mengenai implikasi undang-undang kepada pelajar.
4. Penambahan Guru Kaunselor Terlatih – UMNO Kedah turut mencadangkan penempatan lebih ramai kaunselor di sekolah berisiko tinggi bagi membantu pelajar menangani tekanan sosial, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran tidak sihat.
5. Penubuhan Pasukan Pemantau Disiplin dan Kesejahteraan Pelajar di Setiap Daerah – Pasukan ini dicadang dianggotai oleh wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), kaunselor profesional, pihak polis perhubungan sekolah dan wakil PIBG.
“Antara peranannya termasuk pemantauan berkala terhadap sekolah berisiko tinggi, intervensi awal kepada pelajar berisiko, serta sokongan kepada sekolah melalui laporan dan cadangan penambahbaikan kepada KPM dan JPN tanpa menambah beban pentadbiran guru,” ujarnya.
Shaiful Hazizy seterusnya menegaskan, sinergi antara sekolah, ibu bapa, agensi keselamatan dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala sosial serta memastikan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.
“UMNO Kedah percaya, menangani isu disiplin pelajar memerlukan komitmen bersama semua pihak untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berakhlak mulia,” katanya. – UMNO Online
