Bajet Alternatif Pas: Antara Retorik Politik dan Realiti Ekonomi
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ucapan bajet “alternatif” oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini disifatkan sebagai lebih mirip sembang kedai kopi berbanding perbahasan serius di Parlimen.
Ahli Dewan Negara merangkap Setiausaha UMNO Negeri Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ucapan tersebut sarat dengan emosi namun longgar dari segi fakta dan logik ekonomi.
“Kalau dengar ucapan bajet alternatif Hadi, terasa seperti menonton rancangan realiti iaitu penuh semangat, tapi logiknya entah ke mana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Hadi dalam perbahasannya mendakwa ekonomi Malaysia kini terlalu bergantung kepada acuan Barat seperti IMF dan Bank Dunia, kononnya perlu berpaksikan kepada negara-negara Islam yang kaya.
“Masalahnya, semasa beliau sendiri menjadi Duta Khas ke Timur Tengah berstatus menteri dahulu, di mana hasilnya? Mana pelaburan mega dari rakan-rakan Islam yang beliau banggakan itu? Takkan balik tangan kosong? Atau cuma dapat ole-ole tamar dan jubah?” sindirnya.
Abdul Halim turut mengingatkan bahawa ketika Pas berada dalam kerajaan dahulu, tidak ada satu pun dasar ekonomi Islam yang berjaya digubal.
“Yang rakyat nampak hanyalah ekonomi lembab, pelabur lari dan hutang meningkat. Tapi bila dah jadi pembangkang, semuanya nampak mudah iaitu kononnya kalau mereka perintah semula, Malaysia akan makmur dengan semangat ukhuwah Islamiah dan lawatan ke Doha,” katanya.
Beliau juga menempelak kenyataan seorang Ahli Parlimen dari blok pembangkang yang mencadangkan Malaysia berhenti menggunakan mata wang dolar Amerika (USD).
“Hadi terus setuju seolah-olah dunia boleh bertukar mata wang dengan petik jari. Nak ganti dengan apa, tak pula dijelaskan … mungkin dengan ikan kembung atau pukat ikan,” katanya secara sinis.
Menurutnya, perbahasan bajet sepatutnya berasaskan fakta dan data ekonomi sebenar, bukan sekadar retorik atau fatwa politik.
“Rakyat sudah bijak menilai antara bajet negara dengan bajet angan-angan. Bila habis ucapan, ahli parlimen blok mereka tepuk tangan panjang iaitu mungkin bangga sebab dapat tepuk bajet fantasi,” ujarnya.
Tambah beliau, UMNO konsisten bahawa sebarang cadangan ekonomi mesti realistik, berasaskan fakta serta memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar gimik politik. – UMNO Online
