Perkukuh Kebajikan Rakyat, Ab Rauf Turun Padang Santuni Nelayan
MELAKA, 16 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus komited mendekati rakyat apabila turun padang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bagi menyantuni masyarakat setempat serta meninjau beberapa projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Dalam tinjauan itu, beliau melawat projek menaik taraf Pantai Tanjung Bidara sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan para nelayan dan penduduk di Pantai Pasir Gembur.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri komited membangunkan sebuah Balai Nelayan Pasir Gembur yang baharu bagi memperkukuh kemudahan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti nelayan setempat.
“Saya juga telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (Public Works Department) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan projek ini benar-benar memenuhi keperluan serta keselesaan golongan nelayan,” katanya.
Menurut beliau, di sebalik kemajuan dan pembangunan pesat yang dirancang di Melaka, kebajikan rakyat khususnya para nelayan akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah dan Tanah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, Ir Mohd Adnan Ahmad Fauzi. – UMNO Online
