PERHEBAT Pacu Masa Depan Lebih Terjamin Buat Veteran ATM
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kepentingan transformasi latihan dan pembangunan kemahiran bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan bersara, agar mereka dapat kembali ke masyarakat sebagai individu yang kompetitif dan berkemahiran.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) 2026-2035, yang memberi tumpuan kepada padanan latihan dengan keperluan sebenar industri.
“Transformasi ini penting untuk memastikan anggota ATM yang bersara dapat kembali ke masyarakat dengan lebih lancar, bermaruah dan berdaya saing. Pendekatan baharu memadankan latihan dengan keperluan sebenar industri, memastikan kemahiran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan relevan dengan pasaran kerja.
“Matlamatnya supaya veteran bukan hanya bergantung kepada pencen, tetapi turut berpeluang menjana pendapatan kedua. Dengan purata umur persaraan sekitar 41 hingga 45 tahun, peluang kerjaya baharu amat penting bagi membina kehidupan keluarga yang lebih sejahtera dan stabil selepas tamat perkhidmatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata latihan berasaskan kemahiran kini dijalankan terus di tempat kerja sebenar, membolehkan anggota menimba pengalaman praktikal yang selari dengan kehendak pasaran semasa.
Tambahnya lagi, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, pengalaman anggota tentera juga akan diiktiraf sebagai kelayakan akademik, seperti diploma, menerusi inisiatif Work-Based Learning bagi meningkatkan kebolehpasaran dan peluang kerjaya mereka.
“Kementerian Pertahanan menyeru lebih banyak industri tampil bekerjasama sebagai tanda penghargaan kepada wira-wira negara yang telah berkorban mempertahankan tanah air.
“PERHEBAT mesti menjadi jambatan yang memastikan setiap anggota ATM melangkah ke fasa kehidupan seterusnya dengan penuh keyakinan dan masa depan yang terjamin,” ujar beliau. – UMNO Online
