Pemuda UMNO Tegas Tangani Krisis Pendidikan, Sokong Belanjawan 2026 Dan Sedia Hadapi PRN Sabah
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menjadi suara yang lantang dalam memperjuangkan isu pendidikan, pembangunan belia dan masa depan generasi muda, di samping memastikan kesiapsiagaan penuh menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang bersidang pada 10 Oktober lalu pelbagai perkembangan politik dan sosial semasa yang memberi kesan langsung kepada anak muda telah dibincangkan dengan mendalam, termasuk isu krisis pendidikan negara dan pelaksanaan Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri.
Menerusi kenyataan terbabit, Pemuda UMNO menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan nasional yang semakin membimbangkan iaitu melibatkan isu disiplin murid, beban tugas guru, jurang kualiti antara bandar dan luar bandar, serta kelemahan sistem dalam membina nilai dan jati diri bangsa.

Bagi mencari penyelesaian jangka panjang, Pemuda UMNO akan menganjurkan Meja Bulat Pendidikan Nasional, yang bakal menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru, PIBG, ahli akademik, NGO pendidikan dan wakil pelajar bagi merangka solusi komprehensif terhadap krisis ini.
Forum tersebut akan menumpukan kepada empat teras utama:
1. Memulihkan autoriti dan maruah guru.
2. Menilai semula silibus agar seimbang antara akademik, nilai dan kemahiran hidup.
3. Menangani krisis disiplin dan emosi pelajar dengan pendekatan menyeluruh.
4. Menstruktur semula sistem pentaksiran dan mengurangkan beban birokrasi sekolah.
Menurut kenyataan itu, Pemuda UMNO percaya pendidikan bukan hanya soal akademik tetapi juga pembentukan bangsa dan nilai. Generasi muda mesti dilatih untuk berfikir, beradab dan berjiwa besar iaitu bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan.
Pemuda UMNO turut meneliti secara menyeluruh Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, dan menyambut baik pelbagai langkah yang memberi manfaat langsung kepada golongan muda.
Antara inisiatif yang dialu-alukan termasuk:
• Dana RM3 bilion HRD Corp bagi latihan kemahiran berteknologi tinggi dan digital.
• Latihan GiatMARA kepada 13,000 peserta muda daripada golongan berpendapatan rendah.
• Peruntukan RM15 juta untuk membudayakan sains, teknologi dan daya cipta dalam kalangan belia.
• Dana RM6 bilion bagi memperkukuh peluang pendidikan Bumiputera melalui MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju.
• Pengecualian duti setem sepenuhnya bagi pembelian rumah pertama bernilai bawah RM500,000.
• Insentif caruman padanan KWSP untuk pekerja gig dan e-hailing serta penyerapan tetap kakitangan kesihatan kontrak.

Bagaimanapun, Pemuda UMNO berpandangan beberapa perkara perlu diperhalusi termasuk isu harga rumah bandar yang terus meningkat, serta had pendapatan isi rumah untuk kelayakan pinjaman pendidikan percuma PTPTN yang masih terlalu rendah.
Kenyataan itu menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan kekal sebagai suara semak dan imbang menyokong dasar kerajaan yang baik, namun berani menegur kelemahan yang boleh diperbaiki demi masa depan generasi muda.
Sehubungan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 pada 7 Oktober 2025, Pemuda UMNO Malaysia telah mengaktifkan Pelan Kesiapsiagaan Pemuda BN Sabah menjelang PRN ke-17.
“Pemuda UMNO menegaskan komitmen untuk memastikan isu-isu anak muda Sabah diberi keutamaan dalam manifesto BN, termasuk peluang pekerjaan, kemahiran TVET, pemilikan rumah mampu milik dan pembangunan luar bandar berimpak tinggi.
“Pemuda UMNO juga menekankan agar calon-calon muda terus diberikan ruang dalam senarai Barisan Nasional sebagai tanda kepercayaan kepada tenaga baharu dan kesinambungan kepimpinan.”
Ujarnya, gerakan Pemuda di seluruh negara akan turut turun padang membantu jentera BN Sabah, melalui pendekatan komunikasi digital, kempen media sosial dan program lapangan bagi mendekati pengundi muda di semua zon negeri itu.
“Bagi Pemuda UMNO, PRN Sabah bukan sekadar pertarungan politik, tetapi perjuangan untuk Bikin Balik Sabah iaitu membina semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang stabil, berpengalaman dan berpaksikan rakyat,” tegas kenyataan tersebut lagi. – UMNO Online
