Ahmad Zahid Akhiri Lawatan ke Kemboja, Kukuh Kerjasama Bencana Serantau ASEAN
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Kemboja dengan menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Pengerusi AMMDM ke-13, TYT Kitte Sanggahak Bandit Kun Kim, yang disifatkan sebagai simbol kukuh semangat kekeluargaan ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi bencana.
“Alhamdulillah, seluruh rangkaian AMMDM ke-13 berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh kerjasama serantau, menyelaras strategi kesiapsiagaan bencana, serta memperkukuh solidariti ASEAN dalam menghadapi cabaran kemanusiaan masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di hantaran di Facebook.
Zahid yang juga Presiden UMNO menzahirkan keyakinan bahawa semangat yang terjalin sepanjang persidangan itu akan menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih bersepadu di antara negara anggota ASEAN.
“Majlis malam tadi menjadi lambang semangat kekeluargaan ASEAN di mana kita berdiri bersama sebagai satu rantau yang bersedia, berdaya tahan dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Insya-Allah, semangat yang terjalin sepanjang persidangan ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ASEAN,” ujar beliau.
Terdahulu beliau semasa menyampaikan kenyataan negara pada AMMDM menyifatkan, tahun ini amat signifikan kerana ASEAN memperingati ulang tahun ke-20 Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindakan Kecemasan (AADMER) iaitu satu kerangka penting yang telah membimbing usaha kolektif rantau ini dalam memperkukuh daya tahan bencana dan bantuan kemanusiaan selama dua dekad.
Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan perjanjian tersebut, ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas bencana kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam bidang pengurusan bencana, melalui pelbagai mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), DELSA, dan Rangkaian ASEAN-ERAT. – UMNO Online
