Terima Kasih KKDW Bukti Keprihatinan Terhadap Rakyat Pendang
PENDANG, 15 Okt – Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob, berkata pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat luar bandar menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.
Beliau yang juga Pengerusi Penasihat Program KEDA Parlimen Pendang baru-baru ini telah menyantuni warga Kampung Paya Nedam bagi menyerahkan kunci rumah baharu kepada penerima bantuan, Ismail Yusoff.
Katanya, bantuan tersebut bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang lebih baik, malah menjadi lambang perhatian dan keprihatinan kerajaan melalui KKDW di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap rakyat.

“Bantuan seperti ini bukan sahaja menyediakan kediaman yang lebih selesa, tetapi juga memberi sinar baharu kepada kehidupan penerima.
“Ramai penerima merupakan warga emas dan keluarga kurang berkemampuan, dan inilah bukti kerajaan tidak pernah melupakan rakyat di akar umbi,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Bahagian Pendang akan terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar dan hasrat kerajaan kepada kumpulan sasar.
“Kami di UMNO Pendang komited untuk menyampaikan hasrat kerajaan di akar umbi agar tiada yang tercicir daripada arus pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama dapat merialisasikan impian masyarakat lantas mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat membantu dan menjadikan UMNO jambatan atau wadah antara rakyat dengan kerajaan.
“Terima kasih banyak kepada pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sentiasa prihatin malah cakna terhadap permintaan rakyat,” katanya.
Jelasnya, inisiatif di bawah KKDW ini adalah antara bukti nyata keprihatinan kerajaan yang diterajui UMNO melalui Kerajaan Madani, dalam memastikan rakyat terus dibela tanpa mengira lapisan masyarakat, kaum mahupun latar belakang.
“Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 18 buah rumah baharu telah dibina, manakala 75 bantuan baik pulih dilaksanakan di bawah PPRS sejak tahun 2024.
“Selain itu, tujuh penerima bantuan ekonomi turut menerima manfaat melalui Program Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT) bagi tahun 2025 iaitu sebahagian daripada usaha berterusan KKDW memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya lagi.”
Suraya juga menegaskan, UMNO Pendang akan terus menjadi tulang belakang dalam memastikan setiap program dilaksanakan dengan berkesan dan terus menyentuh kehidupan rakyat di peringkat akar umbi. – UMNO Online
