Program Sumbangan Deepavali DUN Behrang Semarakkan Nilai Keharmonian

BEHRANG, 15 Okt — Dalam suasana penuh muhibah dan kasih sayang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, meraikan sambutan menjelang Deepavali bersama komuniti India menerusi Program Sumbangan Bantuan Deepavali DUN Behrang yang diadakan di halaman Pusat Khidmat Rakyat DUN Behrang, baru-baru ini.

Ujarnya, walaupun majlis diadakan secara sederhana, namun suasananya sarat dengan nilai keakraban apabila keceriaan penerima dirasai dengan wajah penuh senyuman.

“Kadang-kadang kita rasa pemberian kita kecil, tapi bagi orang lain, itulah sinar Deepavali yang mereka tunggu. Saya percaya kebahagiaan bukan datang daripada majlis besar, tetapi dari tempat kecil yang penuh kasih dan keikhlasan,” ujarnya.

Menurut Salina, program ini bukan sekadar majlis penyampaian sumbangan, tetapi satu bentuk penghargaan kepada sahabat-sahabat berbangsa India yang sentiasa bersama membangunkan komuniti setempat.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Behrang itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk dari MIC, IPF, Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim, NGO tempatan serta pimpinan komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut.

Salina menegaskan, semangat perpaduan dan kebersamaan antara kaum perlu terus dipupuk agar keharmonian masyarakat dapat dikekalkan.

“Deepavali bukan hanya perayaan buat satu kaum, tetapi lambang cahaya dan harapan buat semua. Semoga sinar Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan kasih sayang kepada seluruh keluarga,” tambahnya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan dan berharap semangat seumpama ini dapat diteruskan dalam pelbagai program kemasyarakatan di masa akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO