Kembalikan Hukuman Rotan, Bimbang Krisis Moral Pelajar Semakin Parah
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh mencadangkan agar kuasa merotan dikembalikan kepada guru sebagai salah satu langkah mendidik dan membentuk disiplin pelajar di sekolah.
Beliau berpandangan, tindakan tersebut perlu dipertimbangkan secara serius susulan beberapa insiden membimbangkan melibatkan pelajar sekolah kebelakangan ini yang menunjukkan tanda-tanda krisis disiplin dan keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda.
“Satu negara digegarkan murid bunuh murid dalam sekolah setelah beberapa hari lepas murid rogol murid dalam sekolah juga. Masih lagi kita nak menafikan hukuman rotan untuk mendidik? Dengan mengatakan negara lain tidak menggunakan rotan tetapi melahirkan generasi beradab?
“Saya kongsikan masalah di sekolah negara maju contoh di United Kingdom yang tidak menggunakan rotan sebagai mendidik, hasilnya mereka dapat kumpul hampir 1,664 aduan mengenai sexual harrasment yang berlaku di dalam sekolah rendah sahaja
“Apa yang beradab yang cuba dimaksudkan oleh kementerian yang ingin diambil dari pendekatan di negara maju ini? Sedangkan dalam Islam, ada hukuman
memukul kepada anak dengan cara yang betul dan untuk niat mendidik jika mereka meninggalkan solat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu beliau turut sama mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksana antaranya kewajipan saringan kesihatan mental pada semua pelajar, menambah lagi penggunaan cctv di dalam kawasan sekolah dan mengawal kandungan dan penggunaan internet di kalangan pelajar sekolah
Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin turut menegaskan bahawa sistem pendidikan dan pendekatan disiplin yang diamalkan dahulu telah berjaya membentuk generasi yang berakhlak, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Menurutnya, ini kerana masa depan generasi muda tidak boleh dikompromi hanya kerana terlalu terpengaruh dengan pendekatan luar yang kononnya lebih progresif tetapi hakikatnya gagal membentuk sahsiah yang seimbang.
“Nasihat saya, lain padang lain belalang. Kita bentuk cara kita, jangan terlampau kerana mengikut orang lain yang berbeza budaya dan cara hidupnya akhirnya cara tersebut tidak sesuai dengan kita di sini dan memberi kesan negatif kepada kita semua.
“Masa depan generasi mendatang bergantung pada kita sekarang. Sistem dahulu mampu menjadikan siapa diri kita hari ini, kenapa kita mahu menafikannya,” ujar beliau.
Terdahulu, semalam Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memastikan semua aspek terkait kes pembunuhan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.
Katanya, pasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut. – UMNO Online
