Johor Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan URA Singapura Demi Pembangunan Mampan

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh kerjasama strategik rentas sempadan apabila hari ini delegasi rasmi negeri yang diketuai oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mengadakan lawatan kerja ke Urban Redevelopment Authority (URA), Singapura.

Menurut Mohd Jafni, lawatan ini menjadi platform penting untuk memperhalusi pelaksanaan dasar MAJU JOHOR dalam konteks Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang sedang digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri.

Ujarnya, lawatan ini bertujuan memperluas jalinan kerjasama dalam bidang perancangan bandar, perumahan dan pembangunan mampan, selain menjadi kesinambungan kepada kunjungan rasmi Menteri Besar Johor ke republik itu pada Ogos lalu.

“Dalam sesi taklimat bersama Chief Planner URA, Ms. Adele Tan, delegasi Johor berpeluang meneliti dengan lebih mendalam tentang Draft Master Plan Singapore 2025, konsep pembangunan menegak (vertical development), pengurusan trafik bandar serta integrasi antara perumahan, kemudahan awam dan sistem pengangkutan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan komprehensif yang diamalkan oleh URA menjadi inspirasi kepada Johor dalam memperkukuh aspek perancangan jangka panjang bagi menjadikan negeri itu berdaya huni, inklusif dan sejahtera.

“Selain itu, lawatan ini turut membuka peluang untuk perkongsian idea dan kepakaran dalam aspek pembangunan semula bandar, pengindahan landskap, penyediaan ruang awam yang interaktif, serta inovasi “rooftop greenery” dan “public spaces” yang mendorong kesejahteraan sosial masyarakat bandar.

“Pendekatan ini amat bertepatan dengan hala tuju Johor Smart City Blueprint 2030 dan Agenda Bangsa Johor Bahagia, yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, interaksi sosial dan kelestarian alam.”

Jelasnya, Kerajaan Negeri Johor melalui pelbagai agensi seperti PLANMalaysia Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan terus memanfaatkan pengalaman serta input daripada URA.

Mohd Jafni menambah, kolaborasi ini akan diterjemahkan dalam bentuk projek berimpak tinggi, khususnya di kawasan Iskandar Malaysia dan JS-SEZ, yang berpotensi menjadi model pembangunan moden dan mampan di rantau ini.

“Lawatan ini mencerminkan kesungguhan Johor untuk belajar, berinovasi dan bertindak pantas, selaras dengan visi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, agar negeri ini terus mara sebagai kuasa ekonomi baharu yang berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

“Dengan semangat Maju Johor, kita melangkah dengan yakin untuk membina masa depan bandar yang lebih pintar, hijau dan manusiawi,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO