Cukuplah… Keselamatan Pelajar Bukan Lagi Isu Pinggiran – Norliza
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim meluahkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap insiden-insiden yang terus berlaku melibatkan keselamatan pelajar di sekolah, sambil menegaskan bahawa sudah tiba masanya tindakan tegas dan menyeluruh diambil bagi melindungi generasi muda negara.
“Beyond speechless. Belum reda satu kes, timbul pula kes yang baru,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Menurut beliau, sebagai seorang ibu, setiap kali membaca atau mendengar berita mengenai insiden membabitkan keselamatan pelajar, perasaan takut, marah dan kecewa bercampur-baur.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah, tempat anak-anak menimba ilmu dan membina sahsiah serta keyakinan diri. Namun bila kejadian-kejadian sebegini terus berulang tanpa penyelesaian menyeluruh, keyakinan itu semakin terhakis,” katanya.
Norliza turut memahami keresahan ibu bapa yang mula hilang kepercayaan terhadap sistem sedia ada, namun mengingatkan bahawa isu keselamatan pelajar bukan semata-mata tanggungjawab pihak sekolah atau kerajaan.
“Ini adalah masalah bersama dan memerlukan penyelesaian dari setiap lapisan masyarakat. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif, lebih peka terhadap perubahan sikap anak-anak, dan membina komunikasi berasaskan kasih sayang serta kepercayaan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan nilai agama, adab dan akhlak sejak dari rumah sebagai benteng utama dalam membentuk tingkah laku dan keperibadian pelajar.
“Saya pasti setiap ibu hanya mahu menghantar anak ke sekolah dengan hati yang tenang dan melihat mereka pulang dengan senyuman, bukan tangisan,” katanya.
Dalam masa sama, Norliza menggesa agar semua pihak berhenti sekadar menjalankan “post-mortem” dan kajian semata-mata setiap kali insiden berlaku.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah tindakan konkrit — undang-undang yang tegas, sistem pengawasan yang berkesan, garis panduan keselamatan yang wajib dipatuhi, serta hukuman setimpal terhadap mana-mana pihak yang cuai,” tegasnya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan mengingatkan bahawa anak-anak adalah amanah bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi kepada seluruh sistem pendidikan dan negara.
“Jangan biarkan isu keselamatan pelajar terus menjadi tajuk berita yang biasa. Jangan tunggu sehingga tragedi menjadi norma. Cukuplah,” katanya. – UMNO Online
