UMNO Johor Seru BN Terus Pertahan Semangat Muafakat
JOHOR BAHRU, 14 Okt – Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah menegaskan bahawa semangat muafakat dalam Barisan Nasional (BN) perlu terus dipertahankan dan tidak seharusnya dilemahkan melalui kenyataan terbuka yang boleh menggugat keharmonian gabungan parti tersebut.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurut Md Israk, sebarang perbezaan pandangan antara parti komponen perlu diselesaikan melalui semangat rundingan dan perbincangan dalaman, bukannya dibawa ke ruang awam yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong BN.
“Dalam semangat setiakawan BN yang telah lama terjalin, UMNO Johor berpandangan bahawa sebarang perbezaan pendapat seharusnya diselesaikan melalui meja perundingan, bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh melemahkan kesepaduan parti-parti komponen dalam BN,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MIC Johor yang kekal komited bersama BN serta menunjukkan kematangan politik dalam mempertahankan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan gabungan itu.
“MIC Johor telah pun menyatakan dengan jelas komitmen mereka untuk terus kekal bersama BN dan bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Sikap ini wajar menjadi contoh kepada MIC di peringkat pusat,” ujar Md Israk.
Tambah beliau, kepimpinan BN Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan bahawa politik muafakat masih relevan dan terus mendapat kepercayaan rakyat negeri ini.

“Muafakat, saling menghormati dan semangat setiakawan antara komponen BN Johor adalah model politik yang perlu diperkukuhkan, bukan digoyahkan,” katanya lagi.
Md Israk turut menyeru agar kepimpinan MIC Pusat tidak menjadikan perbezaan pandangan dengan Pengerusi BN sebagai isu politik yang boleh merugikan gabungan sendiri.
“Gunakan saluran perundingan dan medan yang betul untuk mencari penyelesaian bersama. BN perlu tampil sebagai satu blok politik yang stabil, matang dan berwibawa,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kekuatan BN hanya dapat dikekalkan melalui perpaduan dan konsensus yang berterusan.
“Jika kita terus bersatu, BN akan kekal relevan dan diyakini rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
