Program Menjelang Deepavali Perkukuh Perpaduan Kaum Di Jeram Padang
JEMPOL, 14 Okt — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa sambutan perayaan seperti Deepavali bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan harmoni dan semangat muhibah antara rakyat pelbagai kaum.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali DUN Jeram Padang 2025 yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, dengan perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Md Deli.

Ujar Mohd Zaidy, program sedemikian mencerminkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam masyarakat di sini.
“Program ini bukan sahaja meraikan masyarakat India sempena menjelangnya Deepavali, tetapi lebih daripada itu, ia mencerminkan semangat Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, di mana nilai keprihatinan, kasih sayang dan kebersamaan terus dipupuk dalam suasana penuh harmoni,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Cikgu Kumaresh Kuma, Ketua MIC Bahagian Jempol serta barisan kepimpinannya yang bersama menjayakan penganjuran program melibatkan lebih 500 penerima daripada komuniti masyarakat India sekitar kawasan DUN Jeram Padang.

Menurut Mohd Zaidy, semangat perpaduan yang dizahirkan melalui sambutan pelbagai perayaan membuktikan bahawa masyarakat Jeram Padang hidup dalam suasana saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.
“Saya percaya perpaduan dan kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan utama masyarakat Jeram Padang untuk terus maju dan sejahtera,” katanya.
Majlis yang turut diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat India yang menggambarkan keindahan seni serta kekayaan budaya selain menjadi teras kepada keharmonian masyarakat di DUN Jeram Padang. – UMNO Online
