Kibar Bendera Israel: Ambil Iktibar, Waspada Untuk Program Selanjutnya
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kelantan, Rabiatul Adawiah Mohamed menyeru semua pihak untuk mengambil iktibar di atas peristiwa kibaran bendera Israel yang berlaku baru-baru ini di Sungai Kelantan.
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik di halaman TikTok Penerangan Puteri UMNO Negeri Kelantan, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya menghimpunkan hampir 1,000 peserta menerusi program tersebut.

“Daripada kes beberapa hari lalu yang berlanjutan sehingga hari ini, berkenaan dengan kibaran bendera Israel di Sungai Kelantan. Pertama, saya nak ucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah mengadakan satu usaha baik untuk berhimpun secara besar-besaran. Hampir 1,000 orang menyertai rombongan bot-bot di program tersebut.
“Khilafnya adalah apabila terjadinya isu bendera tersebut. Ini tidak berkaitan dengan pengisian program sepanjang ia berlangsung. Tetapi, timbulnya kemarahan ini adalah disebabkan bendera tersebut memberi rasa yang tidak senang.
“Kita mengadakan solidariti itu untuk menunjukkan betapa kita sayangkan saudara-saudara kita di Palestin. Tetapi, di pertengahan jalan program tersebut ada ‘moment’ yang kita rasa terlampau tidak sesuai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar perkara sedemikian tidak akan berulang lagi pada program-program yang akan datang.
“Kami berharap perkara ini tidak diulangi lagi. Kita semua sayangkan Negeri Kelantan kita. Semua pihak ambil pengajaran dan berwaspada untuk program selanjutnya dan tidak menjadikan ini sebagai punca serta titik utama untuk bertikam lidah di antara kita.
“Ambil iktibar, juga tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mempunyai fahaman dan ideologi penganjur maksudkan.
“Ya, program yang lain apabila dibentangkan dan dibincangkan, lebih berwaspada dari segi sensitiviti ataupun ‘common sense’ yang kita nak terapkan kepada orang luar dengan harapan program ini berjaya,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu memohon maaf di atas tindakan mengibarkan bendera Israel semasa melakonkan semula apa yang berlaku kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, beliau turut bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Program anjuran bersama Komuniti Floating Market Sri Tanjung itu mendapat kecaman serta pelbagai pandangan orang ramai di media sosial apabila menampilkan sebuah bot yang mengibarkan panji rejim zionis itu. – UMNO Online
