‘Salah Tetap Salah’: Suspek Rogol Akan Tetap Dihukum Walau Berusia Bawah 18 – Azalina
KUALA LUMPUR, 13 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan bahawa suspek dalam kes rogol pelajar sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, akan berdepan hukuman sewajarnya di bawah peruntukan sedia ada dalam Kanun Keseksaan.
Ujarnya, status di bawah umur 18 tahun bukan alasan untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.

“Saya tidak boleh ‘clarify’ sebab itu mungkin sistem Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tetapi bagi pihak undang-undang dan jenayah, itu adalah satu perbuatan jenayah. Hukuman, siasatan tetap akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Itu sebabnya pada saya biarlah polis siasat supaya tindakan sewajarnya akan dikenakan sama ada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berpuas hati dengan siasatan, kemudiannya ada bukti seterusnya akan dikenakan pendakwaan.
“Kalau dia bawah 18 tahun, sistem pendakwaan berlaku dalam Mahkamah Kanak-Kanak. Tetapi mereka akan masih tetap didakwa bawah Kanun Keseksaan. Bukannya pelaku jenayah bawah 18 tahun boleh bebas… salah tetap salah. Hukuman tetap akan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas mempengerusikan Forum ‘Pembinaan Negara dan Ketahanan Masa Hadapan: Belia dan Isu Buli’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Azalina berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung empat pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol seorang pelajar perempuan, namun dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 November ini.
Fadhlina sebelum ini dilaporkan berkata bahawa keputusan itu dibuat bagi memastikan pelajaran pelajar terbabit tidak terganggu, walaupun mereka masih boleh berdepan tindakan undang-undang berkaitan kes tersebut.
Terdahulu, empat pelajar Tingkatan Lima telah direman selama enam hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan kes rogol beramai-ramai terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah minggu lalu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol beramai-ramai. – UMNO Online
