Penduduk Hadapi Masalah Air, Awang Aslee Gesa Jabatan Air Segera Bertindak

BEAUFORT, 13 Okt – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menerima banyak aduan daripada penduduk Daerah Menumbok berhubung masalah ketiadaan air yang berlarutan selama dua hari.

Menurut beliau, keadaan ini amat menyulitkan penduduk yang bergantung kepada bekalan air untuk keperluan harian seperti memasak, mandi dan mencuci pakaian.

“Saya menerima banyak aduan daripada penduduk Menumbok dan kampung-kampung sekitarnya bahawa sudah dua hari air tidak ada. Saya telah menghubungi Jabatan Air Kuala Penyu tetapi nampaknya pejabat berkenaan tidak berfungsi. Sekarang saya sedang cuba berhubung dengan Jabatan Air Beaufort untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Jabatan Air, tolonglah kasihan mereka. Sudah dua hari tiada air, macam mana mereka mahu masak, mandi dan mencuci pakaian. Mesti ada jalan penyelesaiannya,” katanya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, Awang Aslee yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) P.177 Beaufort serta Penyelaras BN DUN N.33 Kuala Penyu turut mengadakan lawatan dan naziran ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenambak di kediaman Ketua PDM, Puan Norjana Saban yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort.

Ujarnya, lawatan tersebut bertujuan menilai kesiapsiagaan jentera BN di PDM Tenambak menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.

“Melihat kepada kehadiran dan semangat jentera di PDM Tenambak, saya yakin BN DUN Kuala Penyu mampu mencapai kejayaan dalam PRN akan datang. Tahniah kepada Puan Norjana dan pasukan beliau kerana telah melengkapkan struktur jentera di PDM ini sepenuhnya,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Awang Damit Jion; Pengerusi Warroom Dun Kuala Penyu merangkap Setiausaha Wanita Bahagian, Norzianah Matnoor; serta ahli jawatankuasa UMNO Bahagian empat peringkat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO