Era BN, Sabah Pemain Utama Negara… Era GRS Sekadar Jadi Penumpang

SANDAKAN, 13 Okt – “Sabah bukan pelengkap kuota dalam kerajaan Persekutuan. Sabah mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar negara.”

Demikian tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Mokran Ingkat, yang menyifatkan kedudukan Sabah kini semakin merosot di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, ketika era Barisan Nasional (BN), Sabah bukan sahaja disebut dalam kabinet, tetapi dihormati dan disegani di peringkat nasional dengan penyertaan aktif para pemimpin negeri dalam kementerian strategik negara.

“Ketika di bawah BN, Sabah memiliki barisan menteri kanan dan berpengaruh yang membawa suara negeri ini terus ke jantung pentadbiran negara,” katanya.

Ketika era BN, antara tokoh penting dari Sabah ketika itu ialah Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air), Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar Negeri), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Mendiang Tan Sri Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Azizah Mohd Dun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Timbalan Menteri Kerja Raya) serta Datuk Mary Yap (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).

Menurut beliau, hasil kepimpinan BN dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, Hab Pendidikan Sandakan, hospital pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Projek Perumahan Rakyat (PPR), dan perluasan kemudahan jalur lebar di seluruh negeri.

“Di bawah BN, Sabah bukan sekadar ditadbir, tetapi benar-benar dibangunkan dan dimartabatkan,” tegasnya.

Namun, beliau menyifatkan era GRS menyaksikan penurunan mendadak pengaruh Sabah di peringkat Persekutuan.

“Daripada enam menteri penuh di era BN, kini Sabah hanya diwakili dua. Ini satu penurunan yang mencerminkan kegagalan mempertahankan kedudukan negeri,” katanya lagi.

Beliau turut membidas gaya kepimpinan GRS yang disifatkannya lebih gemar berpolitik daripada bekerja untuk rakyat.

“Apa yang tinggal hanyalah gambar mesyuarat, kenyataan umum dan slogan tanpa hasil nyata. BN dahulu membentuk dasar, bukan menumpang keputusan,” katanya.

Datuk Mokran turut menegaskan bahawa meskipun kerajaan Perpaduan membuka ruang kerjasama antara negeri dan pusat, GRS gagal memanfaatkan peluang itu untuk memperjuangkan suara Sabah.

“Lebih membimbangkan, mereka gemar memainkan sentimen ‘parti tempatan’ dan ‘tolak parti Malaya’ bagi menutup kelemahan sendiri. Sikap ini bukan memperjuangkan Sabah, tetapi memecah-belahkan rakyat serta melemahkan kedudukan negeri di peringkat nasional,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa masa depan Sabah tidak boleh terus digadai atas nama kompromi politik.

“Kekuatan Sabah mesti diterjemahkan melalui wakil yang berwibawa, berpengaruh dan berani berunding dengan pusat, bukan sekadar tunduk demi mempertahankan kuasa sementara.

Sabah bukan pelengkap kuota. Sabah mesti jadi pemain utama dalam kerajaan pusat. Hanya BN yang terbukti mampu berunding dan membawa hasil sebenar iaitu bukan sekadar bergambar di Putrajaya,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO