Belanjawan 2026: Sabah Perlu Kerajaan Stabil Untuk Nikmati Hasilnya
KOTA KINABALU, 13 Okt – Setiausaha UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyambut baik Belanjawan Madani 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya apabila Sabah kekal menerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion, meningkat daripada RM6.7 bilion pada tahun 2025.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan itu merupakan tanda jelas bahawa Sabah terus menjadi keutamaan dalam dasar pembangunan negara.
Namun begitu, Jafry mengingatkan bahawa peruntukan besar tidak akan memberi impak positif sekiranya negeri ini terus ditadbir oleh kerajaan yang tidak stabil dan gagal melaksanakan dasar dengan fokus serta konsisten.

“Kita tidak boleh lagi mengulangi kesilapan selepas tahun 2018 apabila perubahan kerajaan menyebabkan banyak projek rakyat dibatalkan, ditangguh dan diubah sesuka hati,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa daerah-daerah luar bandar di Sabah masih kurang diberi perhatian sewajarnya, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur asas.
“Kawasan pedalaman masih berdepan masalah jalan perhubungan yang teruk, bekalan air dan elektrik tidak stabil serta akses pendidikan dan kesihatan yang terhad.”
Jafry berkata, penyaluran peruntukan RM6.9 bilion itu mesti dilakukan secara adil dan bersasar agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara seimbang di seluruh negeri, bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar.
“Sepanjang pemerintahan Barisan Nasional, kami telah membuktikan bahawa setiap projek untuk rakyat tidak dibatalkan, malah diteruskan dan ditambah baik demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Beliau menambah, sekiranya BN kembali diberi mandat mentadbir Sabah, pihaknya akan memastikan setiap sen peruntukan pembangunan dilaksanakan dengan telus, cepat dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya masyarakat luar bandar.
“Kerajaan yang stabil bukan sahaja menjamin kelangsungan dasar, tetapi juga menarik pelaburan, memperkukuh keyakinan awam dan memastikan pembangunan tidak terhenti di tengah jalan,” katanya lagi. – UMNO Online
