Belanjawan 2026 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Peminjam PTPTN – Norliza

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menyifatkan pengumuman Belanjawan 2026 yang bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar serta peminjam PTPTN di seluruh negara.

Menurut beliau, PTPTN menyambut baik inisiatif yang diumumkan dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas usaha memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara terus terjamin.

Antara inisiatif utama yang diumumkan dalam belanjawan tersebut ialah:

1. Pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.

2. Pengecualian bayaran balik pinjaman kepada mahasiswa B40 dan M40 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama, memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

3. Sekatan perjalanan ke luar negara secara bersasar kepada peminjam yang berkemampuan tetapi culas melunaskan pinjaman, termasuk mereka yang bekerja di luar negara.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, langkah memperkenalkan pendidikan percuma kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar merupakan pendekatan inklusif bagi memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan kekangan kewangan.

“Mulai tahun 2026, pinjaman PTPTN kepada pelajar dalam kategori ini berdasarkan data e-Kasih akan ditukar kepada biasiswa penuh. Ini akan membantu mereka menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa tekanan kewangan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mengabaikan aspek kelestarian dana PTPTN, yang penting bagi memastikan generasi masa depan terus mendapat manfaat pembiayaan pendidikan.

“Dana PTPTN perlu dikekalkan agar lebih ramai pelajar dapat dibantu pada masa akan datang. Oleh itu, pelaksanaan sekatan perjalanan bagi peminjam yang mampu tetapi enggan membayar adalah langkah wajar dan bertanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, keseluruhan inisiatif ini mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan agenda Malaysia MADANI, yang menekankan kesejahteraan rakyat, tanggungjawab sosial dan kelestarian pendidikan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO