Belanjawan 2026 Bukti Keprihatinan Kerajaan, Selaras Dengan Agenda Rakyat – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan utama di sebalik cabaran ekonomi global.
Beliau berkata, belanjawan berjumlah RM419.2 bilion, yang meningkat kepada RM470 bilion termasuk pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), menunjukkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial terhadap rakyat dan keperluan mengurus fiskal negara secara berhemat.
“Belanjawan kali ini adalah belanjawan rakyat sebenar. Ia tidak sekadar menumpukan angka besar, tetapi menyentuh perkara yang dekat di hati rakyat iaitu kos sara hidup, pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi serta pembangunan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.

Menurut Jalaluddin, peruntukan RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR/SARA) yang turut melibatkan pemberian tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa adalah langkah tepat bagi membantu rakyat ketika tekanan kos hidup masih tinggi.
“Langkah ini bukan sahaja popular, tetapi berasaskan realiti semasa. Ia memberi kelegaan segera kepada golongan B40 dan M40 yang kini berdepan kenaikan harga barang dan inflasi makanan.”
Beliau turut menyambut baik perhatian kerajaan terhadap sektor pertanian dan luar bandar dengan RM2.62 bilion subsidi pertanian serta RM160 juta elaun nelayan, di samping tambahan RM412 juta untuk masyarakat Orang Asli dan RM300 juta bagi pembangunan infrastruktur desa.
“Peruntukan ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan luar bandar. Ia bukti kesungguhan memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah agar rakyat desa turut menikmati kemajuan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan RM66.2 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, menjadikan sektor itu penerima terbesar dalam Belanjawan 2026. Ia termasuk RM2 bilion bagi menaik taraf sekolah uzur dan RM800 juta untuk bantuan awal persekolahan.
“Pendidikan ialah pelaburan jangka panjang negara. Fokus kerajaan dalam menaik taraf sekolah daif, terutamanya di luar bandar, amat dialu-alukan kerana ia memberi kesan langsung kepada masa depan generasi muda,” katanya.
Mengulas peruntukan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan, Jalaluddin berkata kerajaan mengambil langkah wajar dengan menumpukan kepada pengukuhan sistem kesihatan awam, baik pulih kemudahan hospital serta usaha digitalisasi rekod perubatan.
Dalam aspek pembangunan akar umbi pula, beliau menyifatkan peruntukan RM1.28 bilion bagi projek air, RM780 juta untuk capaian digital luar bandar dan RM300 juta bagi penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai antara langkah paling rakyat-centric dalam bajet kali ini.
“Inilah yang kita mahu lihat iaitu dasar yang menyentuh terus kehidupan rakyat di bawah, bukan hanya projek besar yang tidak dirasai manfaatnya,” katanya.
Dalam masa sama, Jalaluddin turut menyokong komitmen kerajaan memperkukuh aspek keselamatan dan ketahanan negara dengan RM21.7 bilion kepada pertahanan serta RM21.2 bilion kepada keselamatan dalam negeri, di samping RM2.2 bilion bagi mitigasi banjir.
“Keselamatan dan kesiapsiagaan negara amat penting. Perbelanjaan ini bukan pembaziran, tetapi pelaburan strategik bagi melindungi rakyat dan negara,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menekankan kepentingan disiplin fiskal agar setiap perbelanjaan dilaksana dengan berhemah dan berintegriti, memandangkan hasil negara dijangka menyusut berikutan penurunan sumbangan Petronas kepada sekitar RM20 hingga RM25 bilion.
“Kita perlu pastikan setiap ringgit dibelanja dengan penuh tanggungjawab. Reformasi hasil seperti peluasan cukai karbon, pendigitalan kutipan hasil dan cukai kekayaan mesti dilakukan dengan cara yang adil serta telus,” tegas beliau.
Jalaluddin juga menyatakan keyakinan bahawa Belanjawan 2026 mampu menjadi titik tolak kepada reformasi ekonomi Madani yang sebenar sekiranya dilaksanakan dengan tadbir urus baik.
“Ini bukan belanjawan sempurna, tetapi ia paling hampir kepada aspirasi rakyat bawahan. Ia menunjukkan kerajaan benar-benar memahami tekanan hidup rakyat dan dalam masa sama, berusaha mengekalkan kestabilan ekonomi negara,” katanya lagi. – UMNO Online
