Antara Hak Dan Nilai: Puteri UMNO Melaka Gesa Kembalikan Ketegasan Dalam Didikan Anak Bangsa

MELAKA, 13 Okt — Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof, menyuarakan kebimbangan berhubung kes rogol melibatkan pelajar yang mengejutkan negara baru-baru ini, sambil menyeru supaya ketegasan dalam mendidik anak bangsa dikembalikan.

Menurut beliau, insiden itu mencerminkan masalah yang lebih besar dalam sistem pendidikan dan nilai masyarakat hari ini.

“Sebagai seorang ibu, saya rasa sedih, marah dan risau sebab perkara ini berlaku di tempat yang sepatutnya paling selamat untuk anak-anak kita iaitu sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Amirah menegaskan bahawa meskipun dari sudut undang-undang setiap calon berdaftar mempunyai hak untuk menduduki peperiksaan walaupun sedang disiasat, isu sebenar bukan sekadar soal pelajar menjawab SPM, tetapi tentang bagaimana sistem pendidikan boleh melahirkan pelajar yang sanggup melakukan jenayah seberat itu di kawasan sekolah.

“Kita terlalu lama berhati-hati sampai hilang ketegasan. Hari ini, cikgu nak tegur pun salah, nak rotan pun takut. Akhirnya sempadan antara betul dan salah makin kabur,” ujarnya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah segera dengan menggubal dasar khas mengenai jenayah dan gangguan seksual di sekolah, menyediakan garis panduan yang jelas untuk melindungi mangsa dan menghukum pelaku, serta menilai semula kuasa guru dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar agar kembali dihormati.

Selain itu, katanya, komunikasi dua hala antara sekolah dan ibu bapa perlu diperkukuh supaya tanda-tanda awal salah laku dapat dikesan lebih awal.

“Sekolah bukan tempat untuk betulkan anak yang kita gagal didik di rumah. Didikan bermula dari rumah dan cikgu hanyalah penyambungnya,” tegasnya lagi.

Nurul Amirah menutup kenyataannya dengan peringatan bahawa pendidikan bukan semata-mata tentang keputusan peperiksaan, tetapi tentang pembentukan insan yang berilmu, berakhlak dan tahu menghormati sempadan.

“Kalau kita terus longgar dalam soal nilai, tidak ada dasar atau sistem yang mampu menyelamatkan masa depan anak bangsa kita,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO