Dr Akmal Kecam Insiden Kibar Bendera Israel

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa bendera Israel tidak sepatutnya dikibarkan di Malaysia dalam apa jua bentuk, termasuk sebagai gimik persembahan.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin yang sekian lama menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Taraf bendera negara Israel ini hanyalah untuk dipijak dan dibakar sahaja terutama di dalam negara kita ini.

“Bukan untuk dikibarkan tidak kira secara gimik ataupun apa,” tegasnya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Dr Akmal turut menggesa agar penganjur yang terlibat segera tampil membuat permohonan maaf atas keterlanjuran tersebut.

“Saya mendesak agar penganjur yang dikatakan mengibarkan bendera Israel sebagai gimik persembahan itu tampil memohon maaf secara terbuka.

“Tidak kira siapa atau apa sekalipun, kita tidak pernah dan tidak akan sesekali memberikan penghormatan kepada rejim laknatullah ini!” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO