Belanjawan Madani Bukti Komitmen Kerajaan Perkukuh Ekonomi Rakyat – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 10 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembentangan Belanjawan Madani 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti jelas komitmen Kerajaan Madani untuk terus memperkukuh ekonomi negara serta membina masa depan Malaysia yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, Belanjawan kali ini bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi satu pelan menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh daya saing negara di peringkat global.

“Saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan Kerajaan yang telah meningkatkan peruntukan untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada RM12.4 bilion bagi tahun 2026, meningkat 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Insya-Allah, peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh jaringan prasarana asas luar bandar, meningkatkan taraf hidup masyarakat desa serta memperluas peluang ekonomi yang lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perhatian kerajaan turut diberikan kepada usaha memperkasa modal insan luar bandar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif TVET, pengukuhan pendidikan tahfiz dan pondok, serta program kemahiran dalam bidang strategik yang relevan dengan keperluan masa depan.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan negara menghadapi bencana turut dipertingkatkan, manakala industri pelancongan diperkukuh sebagai salah satu pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi baharu negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Insya-Allah, Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, memajukan desa, memperluas peluang pendidikan dan pekerjaan, serta memastikan Malaysia kekal berdaya saing di pentas global,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO