UMNO Sabah Tetap Kukuh, Prinsip Perjuangan Tidak Pernah Berubah

KOTA KINABALU, 9 Okt – UMNO Sabah menegaskan parti itu kekal kukuh dan tidak akan tergugat biarpun berlaku perubahan dalam keanggotaan, termasuk penyertaan Datuk Sairin Karno ke dalam Parti Warisan.

Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, parti menghormati keputusan peribadi tersebut namun menegaskan perjuangan UMNO tidak pernah bergantung kepada individu semata-mata.

“UMNO Sabah berpegang kepada semangat kolektif, disiplin perjuangan serta kesetiaan kepada parti dan rakyat. Ramai tokoh datang dan pergi, namun asas perjuangan UMNO iaitu membela rakyat, mempertahankan agama, bangsa dan Negeri Sabah malah tetap teguh dan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan pelantikan Datuk Awadnir Matanggal sebagai Pengerusi Veteran UMNO Sabah yang baharu, bagi memperkukuh organisasi parti di peringkat negeri.

“Beliau merupakan tokoh berpengalaman dan dihormati dalam parti, diyakini mampu meneruskan kesinambungan perjuangan serta memperkukuh peranan sayap veteran di seluruh negeri,” ujarnya.

Jafry turut menegaskan perjuangan demi Sabah tidak memerlukan perubahan arah, sebaliknya perlu kekal berpaksikan keikhlasan, kesetiaan dan khidmat berterusan kepada rakyat di semua peringkat.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Sairin Karno yang sebelum ini menjawat Pengerusi Veteran UMNO Sabah atas sumbangan beliau selama ini, serta mendoakan kejayaan dalam apa jua landasan perjuangan yang dipilih.

“UMNO Sabah akan terus melangkah ke hadapan dengan kepimpinan yang komited, ahli yang setia, dan rakyat yang percaya kepada kejujuran perjuangan parti ini,” jelasnya.

Menurut beliau, UMNO Sabah kekal teguh dan perjuangan parti itu akan terus disegarkan demi rakyat dan negeri tercinta. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO